am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Plus Malaysia Bhd (Plus) menggalakkan pengguna lebuh raya untuk menggunakan platform digital MYPlusTTA bagi membantu merancang perjalanan dan menguruskan aliran trafik ketika pulang ke kampung sempena musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.
Ketua Pegawai Operasi Plus, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata platform itu dibangunkan untuk mengatur perjalanan trafik, terutama ketika musim perayaan, berdasarkan data daripada sambutan Raya tahun sebelumnya.
“Menerusi MYPlusTTA, pengguna lebuh raya boleh memilih tarikh dan masa perjalanan mereka, sama ada untuk pulang ke kampung atau kembali ke ibu kota.
“Dengan mendaftar dan mengikuti rancangan ini, pengguna bukan sahaja akan mendapat pilihan waktu perjalanan terbaik dengan kurang kesesakan, malah menerima maklumat masa nyata mengenai sebarang insiden di lebuh raya seperti kemalangan atau kenderaan rosak,” katanya ketika lawatan ke Media Prima Berhad (Media Prima) di sini, hari ini.
Terdahulu, Zakaria melawat kemudahan Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar.
Lawatan beliau diiringi Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima dan Pengarang Kumpulan The News Straits Times Farrah Naz Abd Karim.
Turut hadir Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen Azhari Muhidin, Timbalan Pengarang Kumpulan NST Sharanjit Singh dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian M Thilinadan.
Beliau berkata, Plus menjangkakan jumlah trafik melebihi 2.2 juta kenderaan sehari sepanjang musim perayaan dan atas dasar itu, beberapa inisiatif diambil bagi menguruskan kesesakan di plaza tol serta laluan utama.
“Salah satu usaha paling penting adalah mengaktifkan Smartlane di 28 lokasi sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
“Dengan Smartlane, kami menjangkakan kapasiti jalan akan meningkat, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan,” katanya.
Zakaria berkata, semua kakitangan akan bertugas di plaza tol bagi memastikan lorong kekal dibuka serta peralatan berfungsi dengan baik.
Beliau berkata, anggota juga akan ditempatkan di kawasan rehat dan rawat (R&R) dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi menguruskan tempat letak kereta.
“Bagi insiden tidak dijangka seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan, kami menempatkan trak tunda dan kenderaan maklum balas di lokasi strategik seperti Terowong Menora dan Gua Tempurung bagi memastikan pasukan kami dapat bertindak pantas serta membersihkan lebuh raya secepat mungkin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




