MySyarikat, Maybank rapatkan jurang perancangan legasi PKS

MySyarikat, Maybank rapatkan jurang perancangan legasi PKS

SYARIKAT teknologi tempatan, Byond Tech Global Berhad yang membangunkan platform sumber manusia (HR) MySyarikat memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Maybank pada Rabu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Byond Tech, Malik Hairuddin berkata, perjanjian itu bagi memperkenalkan penyelesaian kesinambungan perniagaan dan perancangan harta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, matlamat utama syarikat sejak awal adalah menjadikan pengurusan HR lebih mudah, pantas dan patuh kepada undang-undang.

“Namun, kami juga sedar kecekapan operasi hanyalah sebahagian daripada membina syarikat yang mampan. Kerjasama ini adalah tentang melihat ke hadapan serta memperkasakan PKS untuk bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Kerjasama inovatif itu merupakan yang pertama di Malaysia yang menggabungkan platform HR berasaskan awan dengan syarikat amanah berlesen yang disokong institusi perbankan.

Langkah berkenaan bertujuan menyokong PKS bukan sahaja dalam aspek pengurusan pasukan, malah membantu mereka merancang perlindungan serta kelangsungan jangka panjang.

Dilancarkan pada 2019, MySyarikat merupakan platform pengurusan modal insan (HCM) berasaskan awan yang membantu PKS dan syarikat sederhana mengurus proses HR termasuk pengambilan pekerja, gaji, cuti, latihan serta pematuhan.

Kini, platform itu menyokong lebih 27,000 perniagaan dengan 180,000 pengguna aktif merentasi Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Pelanggan MySyarikat antaranya ialah sektor hospitaliti, runcit, pendidikan dan penjagaan kesihatan termasuk jenama terkenal seperti Todak, Richiamo Coffee, UniKlinik dan Bawal Exclusive.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Byond Tech, Afiq Arbae berkata, perancangan harta tidak seharusnya berada di luar ekosistem digital yang digunakan PKS setiap hari.

“Menerusi kerjasama ini, kami mengintegrasikan perancangan legasi terus ke dalam platform sedia ada sekali gus menormalkan pewarisan sebagai sebahagian daripada operasi harian,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Berhad, Nor Fazlina Mohd Ghouse pula berkata, tanpa pelan pewarisan yang jelas, perniagaan berdepan risiko ketidakstabilan sekiranya berlaku perkara di luar jangka.

“Sebagai peneraju dalam amanah serta perancangan harta konvensional dan Islam, kami mahu merapatkan jurang akses kepada penyelesaian legasi ini. Matlamat kami ialah memperkasakan pemilik perniagaan agar dapat merancang dengan bijak dan melindungi apa yang telah mereka bina,” ujarnya.

Kerjasama berkenaan turut menyokong agenda pendigitalan dan literasi kewangan negara dengan mewujudkan ekosistem lebih holistik untuk PKS, meliputi keseluruhan kitaran perniagaan daripada pengambilan pekerja hingga pewarisan.

Scroll to Top