latifah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan disaran mengambil langkah segera memasukkan semula nikotin cecair dan gel dalam produk vape serta rokok elektronik yang sebelum ini dikeluarkan daripada Akta Racun 1952.
Langkah itu perlu diikuti dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan produk terbabit secara terbuka di seluruh negara.
Naib Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Malaysia bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Dr Zarihah Zain, berkata ia antara tindakan yang tidak sepatutnya dilengahkan lagi dengan pelbagai kemudaratan khususnya kepada golongan kanak-kanak dan remaja susulan penjualan rokok elektronik atau vape mengandungi dadah yang kian berleluasa.
“Ketika ini cecair dan gel nikotin dikecualikan daripada Akta Racun. Mei lalu keputusan Mahkamah Tinggi mendapati tindakan mengecualikan nikotin yang terkandung dalam vape dan e-rokok bercaggah dengan keperluan undang-undang.
“Jadi ini masa paling tepat untuk masukkan semula bahan ini dalam senarai Akta Racun, sekali gus dapat sekat iaitu dengan cara tak lagi membenarkan sesiapa beli vape di mana-mana kedai,” katanya selepas Sidang Media Lindungi Kesihatan, Lindungi Pendidikan anjuran MyWATCH di Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAKPEM), di sini, hari ini.
Dr Zarihah turut berkata, komitmen kerajaan untuk segera mengharamkan vape amat diharapkan mengambil kira langkah tegas itu sudah dilaksanakan di beberapa negeri, malah beberapa negara Asean.
“Kementerian Kesihatan sudah ulang banyak kali nak haramkan vape tapi belum ada tindakan konkrit dibuat.
” Jika negeri seperti Johor dan di Pantai Timur dah buat dengan cara tidak keluarkan lesen untuk jualan vape, malah negara Asean lain seperti Brunei Darussalam, Thailand dan Singapura sudah haramkan jualan vape, apa lagi Malaysia tunggu?
“Kita sekarang ini nak fikir kebajikan rakyat atau nak untungkan penjual dan industri vape?” katanya.
Sementara itu, Presiden MyWATCH, Roslizawati Md Ali, berkata dasar kesihatan awam mesti mengutamakan kebajikan rakyat terutama kanak-kanak yang dikesan banyak terjerumus dalam penyalahgunaan dadah bermula dengan produk vape.
“Mahkamah telah memberikan peluang kepada kerajaan untuk membetulkan kesilapan yang menyumbang kepada pertumbuhan pesat produk vape dan ketagihan nikotin dalam kalangan belia Malaysia.
“Daripada membelanjakan dana awam untuk merayu keputusan itu, kerajaan seharusnya segera mengambil tindakan tegas termasuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap jualan dalam talian dan pemasaran yang menyasarkan golongan muda.
“Selain itu, kenakan hukuman yang lebih berat terhadap pihak yang membekalkan produk nikotin kepada golongan bawah umur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




