NAAM bincang pengganti Haziq ke Paris

NAAM bincang pengganti Haziq ke Paris

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dijadual berbincang esok dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih kebangsaan, Lee Jae-hyung bagi menentukan pengganti Allahyarham Haziq Kamaruddin ke saingan kelayakan Olimpik Tokyo di Perancis.

Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, perkara itu wajar dibincangkan segera memandangkan saingan kelayakan berkenaan dijadual berlangsung pada pertengahan Jun ini selain perlu membincangkan beberapa isu lain termasuk berkaitan pandemik COVID-19.

Katanya, beliau sudah dimaklumkan terdapat dua atau tiga pemanah negara yang berpotensi untuk menyertai saingan berkenaan namun ia perlu dibincangkan secara bersama terlebih dulu.

“Kita memang mempunyai pasukan pelapis dan saya dapat tahu kami mempunyai dua atau tiga pemanah yang berpotensi untuk ke Paris,” katanya.

“Buat saya ini, saya belum boleh memaklumkannya secara khusus, namun esok (hari ini) saya akan berjumpa dengan jurulatih dan MSN bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Selain itu, kami juga perlu membincangkan beberapa perkara rumit sebelum berlepas ke sana memandangkan kita masih mengharungi COVID-19.”

Jumaat lalu, arena sukan tanah air dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Haziq yang meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kajang sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Bagaimanapun Haziq, 27, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.37 pagi. Hasil bedah siasat awal selepas itu mengesahkan punca kematian bukan disebabkan vaksinasi COVID-19.

Sepanjang mewakili negara, Allahyarham yang pernah menyertai dua temasya Sukan Olimpik di London 2012 dan Rio 2016 meraih emas di Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina.

Allahyarham turut meraih perak pada siri Kejohanan Dunia masing-masing di Shanghai 2011 dan Medellin 2013 selain dua gangsa di Salt Lake City 2017 dan 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top