Nabil Ahmad rela bayar gaji isteri, asalkan berhenti kerja ‘flower pot’

Nabil Ahmad rela bayar gaji isteri, asalkan berhenti kerja ‘flower pot’

Umum sedia maklum, isteri kepada pelawak dan penyampai radio terkenal, Nabil Ahmad iaitu Zira Ayub pernah bekerja sebagai pramugari di sebuah syarikat lapangan terbang sebelum mendirikan rumah tangga.

Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik oleh penyanyi Zarul Umbrella di laman TikToknya, Zira atau nama sebenarnya Nazira Ayub mendedahkan dia pernah menjadi sebagai ‘flower pot’ atau lebih dikenali sebagai model untuk syarikat penerbangan tersebut.

@zarulumbrellaofficial

Ikuti kisah menarik Zira yg merupakan wife kpd Nabil Ahmad semasa bertugas diawan biru bersama AirAsia

♬ original sound – Zarul Umbrella – Zarul Umbrella

“Saya pakai uniform, duduk sebelah VIP. Itulah ‘flower pot’, apa yang kita panggil kalau jadi kru kabin. Jadi, kalau dalam majalah ada orang yang sebelah bos besar, itulah nama ‘flower pot’,” katanya.

Bukan itu sahaja, bekas pramugari yang berusia 34 tahun itu turut mendedahkan kisah perjalanannya sebagai ‘flower pot’ bukanlah satu perkara yang mudah memandangkan dia perlu mengambil peperiksaan selama dua kali selepas gagal ketika tempoh latihan.

Malah, dia turut memaklumkan kerjayanya sebagai pramugari hanya mampu bertahan selama tiga tahun sebelum mendirikan rumah tangga bersama Nabil Ahmad.

Difahamkan, Nabil pernah meluahkan rasa kebimbangan dengan kariernya itu yang akan menyukarkan mereka berjumpa dan disebabkan itulah, pelawak tersebut sanggup memberi ‘gaji’ sama dengan pendapatannya sebagai pramugari.

Sebab Haji (Nabil) ada cakap, ‘kalau awak terbang (kerja), macam mana kita nak jumpa? Saya cakap dengan haji, ‘kalau saya berhenti, awak kena bayar gaji saya. Berapa saya dapat, itulah yang awak kena bayar setiap bulan’ dan dia pun bersetuju,” jelasnya lagi.

Sekadar info, Nabil dan Nazira telah selamat diijab kabulkan sebagai pasangan suami isteri pada 30 September 2011 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Sumber: TikTok @zarulumbrellaofficial