am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Nabila Huda, 41, tetap mahu meneruskan pementasan teater muzikal Masmoona yang dijadualkan, esok meskipun disahkan mengalami kecederaan tulang belakang atau ‘slipped disc’ L5.
Nabila atau pemilik nama Nabila Huda Suhaimi berkata, serangan sakit belakang itu datang secara tiba-tiba sebaik sahaja dia bangun daripada tidur, dua hari lalu.
“Sebelum ini memang pernah kena (slipped disc), tapi sudah lama tidak berulang. Kali ini keadaannya lebih serius sehingga saya mengalami kesukaran untuk berdiri.
“Memandangkan pementasan teater sudah dekat, saya mula panik. Jadi semalam, sebelum ke sesi latihan, saya buat keputusan ke hospital untuk lakukan imbasan ‘Magnetic Resonance Imaging’ (MRI) bagi mengetahui keadaan sebenar,” tulisnya menerusi hantarannya di Instagram, hari ini.
Pelakon filem Munafik ini mengakui terkejut dengan keputusan ujian MRI, namun menyifatkan ia sebagai ‘hadiah’ penutup tahun ini yang mencabar buat dirinya.
Menceritakan momen di hospital, Nabila sempat berseloroh apabila doktor yang merawatnya menawarkan sijil cuti sakit (MC) selepas melihat keadaan fizikalnya.
“Paling kelakar, doktor tanya saya nak MC atau tidak? Terus saya tergelak. (Bidang) kerja saya ini, MC memang tiada dalam kamus. Orang sudah beli tiket untuk teater esok, siapa yang mahu ganti watak ‘Malam’ nanti?” tulisnya.
Demi rasa cinta terhadap dunia lakonan, Nabila memilih untuk mengambil ubat penahan sakit bagi melunaskan empat baki pementasan teater yang dijadualkan, esok.
Menurutnya, dia menyedari jadual kerja yang terlalu padat menjadi punca kecederaan lama itu kembali menghantui dirinya.
“Saya berjanji akan menjalani rawatan fisioterapi sepenuhnya sebaik sahaja komitmen persembahan teater selesai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



