Penyanyi dan pelakon jelita, Nabila Razali, tampil berkongsi luahan penuh rasa cinta dan penghargaan sempena ulang tahun kelahiran suaminya yang kini memegang gelaran ayah.
Dalam hantaran menyentuh hati yang dimuat naik di media sosial, Nabila menggambarkan transformasi suaminya sejak kelahiran anak sulung mereka lima bulan lalu daripada lelaki yang ‘relaks’ kepada insan yang mudah tersentuh oleh hal-hal yang melibatkan si kecil.
“Siapa sangka lelaki yang dulu begitu chill sekarang boleh sebak hanya tengok stokin kecil dan aksi bayi menguap?” soalnya.
Lebih menyentuh hati, Nabila turut berkongsi momen-momen indah yang membuktikan betapa mendalamnya kasih sayang sang suami terhadap keluarga kecil mereka.
“Saya nampak sisi baru awak. Cara awak peluk anak seolah-olah dia dunia awak. Cara awak tengok kami berdua tengah malam, diam tanpa suara. Cara awak buat saya ketawa walaupun awak sendiri kurang tidur,” tulisnya.
Bagi pelantun lagu popular Peluang Kedua itu, kasih sayang yang ditunjukkan suaminya bukan sekadar dalam kata-kata, tetapi juga melalui perbuatannya.
“Terima kasih kerana memilih kami, setiap hari. Selamat hari jadi, sayang. Kami sayang awak sangat-sangat. Sentiasa,” tambahnya lagi.
Perkongsian Nabila itu pantas mendapat perhatian peminat dan rakan artis yang rata-ratanya tersentuh dengan luahan jujurnya serta mendoakan agar rumah tangga pasangan itu terus bahagia dan dirahmati.