NACS: 5 agensi bincang strategi hebahan pengukuhan tatakelola, antirasuah

NACS: 5 agensi bincang strategi hebahan pengukuhan tatakelola, antirasuah

hafidzul@hmetro.com.my

Putrajaya: Lima agensi hadir terbabit dalam sesi perbincangan strategik mengenai perancangan input serta gerak kerja media bagi memperkasa hebahan pengukuhan tatakelola dan antirasuah di peringkat nasional di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Sesi perbincangan berkenaan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perbincangan yang dihadiri oleh lima ketua agensi peneraju bagi substrategi NACS yang berstatus selesai itu membabitkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Audit Negara (JAN), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Ia sebagai persediaan pelaksanaan strategi media berikutan pengumuman prestasi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang dijangka diumumkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) pada 11 Februari 2025.

Sesi berkenaan turut membincangkan tentang pelan perancangan media sepanjang 2025 yang disediakan oleh Bahagian Komunikasi Strategik (BKS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diselaraskan bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK) bagi lima agensi peneraju berkenaan.

Menerusi sesi perbincangan ini, usaha pelaksanaan strategi media berhubung pencapaian ini diharapkan dapat dilaksanakan secara bersepadu antara agensi bagi meningkatkan keyakinan masyarakat berhubung kesungguhan kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur dan bebas rasuah sekali gus memacu kedudukan Malaysia ke tangga 25 teratas dalam CPI menjelang 2033.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top