Nadal bakal diberi penghormatan di Terbuka Perancis

Nadal bakal diberi penghormatan di Terbuka Perancis

Paris: Terbuka Perancis bakal memberi penghormatan istimewa kepada juara 14 kali, Rafael Nadal pada hari pembukaan Grand Slam itu bulan depan, setahun selepas legenda Sepanyol itu menamatkan penampilannya di gelanggang tanah liat Roland Garros.

Nadal yang tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada Alexander Zverev tahun lalu, tidak mengesahkan sama ada ia adalah penampilan terakhirnya di Paris, namun akhirnya mengumumkan persaraan pada November selepas mewakili Sepanyol dalam kejohanan Piala Davis.

Pemenang 22 kejuaraan Grand Slam itu kini akan kembali ke gelanggang keramat yang penuh kenangan manis, bagi meraikan kejayaan luar biasanya di Roland Garros.

“Rafa mencipta sejarah di Roland Garros dan kejuaraan 14 kali miliknya mungkin sukar ditandingi sesiapa,” kata Pengarah Kejohanan, Amelie Mauresmo yang juga juara Grand Slam dua kali.

“Majlis penghormatan kepada Rafa akan berlangsung pada penghujung sesi siang, 25 Mei ini di Gelanggang Philippe Chatrier.”

“Kami ingin menatap masa depan tetapi dalam masa sama turut menghargai wira-wira yang telah mencetuskan inspirasi sebelum ini,” katanya.

Selain Nadal, Terbuka Perancis turut akan memberi penghormatan kepada juara wanita edisi 2000, Mary Pierce dan bintang tuan rumah Richard Gasquet yang akan bersara selepas tamat kejohanan tahun ini.

Hadiah keseluruhan kejohanan yang berlangsung dari 25 Mei hingga 8 Jun itu ditetapkan sebanyak €56.352 juta (RM323.8 juta), meningkat 5.21 peratus berbanding tahun lalu.

Menurut Amelie, peningkatan hadiah wang tunai adalah antara tuntutan utama pemain elit dunia yang mahu Grand Slam lebih menghargai usaha dan komitmen mereka dalam sukan tenis.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Tenis Perancis (FFT), Gilles Moretton menegaskan Roland Garros akan mengekalkan penggunaan pegawai garisan berbanding teknologi pengesanan elektronik seperti yang digunakan kejohanan utama lain.

Wimbledon tahun ini akan menyertai Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Australia dalam penggunaan sistem elektronik, namun Roland Garros memilih untuk kekal dengan pendekatan tradisional.

“Kami yakin keputusan untuk mengekalkan pengadil dan pegawai garisan di Roland Garros adalah yang terbaik. FFT mahu mengekalkan tradisi ini selama mungkin,” kata Moretton.

Sistem pengesanan khas untuk gelanggang tanah liat sebenarnya sudah tersedia, namun kesan bola yang jelas pada permukaan tanah sering membantu pengadil membuat keputusan yang tepat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top