Nadal keluar persaraan?

Nadal keluar persaraan?

London: Rafael Nadal membuat kejutan dengan kembali ke gelanggang tenis hanya setahun selepas mengumumkan persaraannya.

Legenda Sepanyol itu muncul juara Wimbledon sebanyak dua kali dalam kerjaya gemilang yang menyaksikannya merangkul 22 gelaran Grand Slam dan dia sekali lagi menyarung kasut tenis untuk beraksi menentang bakat muda sedang meningkat naik, Alexandra Eala.

Nadal memuat naik video di platform X kelmarin yang menunjukkan dirinya diasak dalam sesi latihan oleh pemain berusia 20 tahun itu, yang juga pemain Filipina ranking tertinggi dalam sejarah WTA.

Nadal turut memberi bayangan kemunculan itu bukan kali terakhir beliau kembali ke gelanggang.

Ini kerana kapsyennya berbunyi: “Setahun kemudian, rasa sangat hebat untuk kembali ke gelanggang tenis!

“Seronok berlatih dengan kamu Alexandra Eala. Lain kali saya akan datang dengan lebih kuat.”

Nadal turut menyertakan emoji mengenyit mata di akhir hantaran itu, sekali gus mencetuskan harapan dalam kalangan peminat a dia mungkin mahu membuat pusingan-U dalam kerjayanya.

Seorang peminat berkata: “Adakah ini bermakna anda akan mula memikirkan aksi pertunjukan bersama Federer?”

Yang lain menulis: “Masa untuk buat ‘comeback’, legenda.” Seorang lagi menambah: “Rafa, kembalilah, peminat tenis merindui kamu.”

Nadal, 39, sebelum ini gagal menahan air mata ketika menamatkan kerjaya luar biasanya selepas kekalahan Sepanyol pada final Piala Davis, 12 bulan lalu.

Sepanjang kariernya, beliau memenangi 14 gelaran Terbuka Perancis, satu rekod untuk mana-mana pemain dalam kejohanan Grand Slam.

Nadal juga memenangi pingat emas Olimpik di Beijing, selain meraih emas acara beregu ketika Sukan Olimpik Rio 2016.

Beliau pernah menduduki ranking No.1 dunia selama 209 minggu sepanjang penglibatannya dalam sukan tenis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top