Nadal tenang tinggalkan tenis

Nadal tenang tinggalkan tenis

Paris: Rafael Nadal mengakui bahawa dia “tidak terlalu merindui tenis” selepas bersara daripada sukan itu tahun lalu sebagai juara Grand Slam sebanyak 22 kali.

Roland Garros memberi penghormatan penuh emosi kepada legenda berusia 38 tahun itu, yang memegang rekod 14 gelaran Terbuka Perancis, pada hari pembukaan kejohanan, enam bulan selepas dia mengakhiri kerjayanya.

“Saya tak terlalu rindu tenis, kerana saya rasa saya dah beri semuanya.

“Hari ini saya datang dengan ketenangan saya tak mampu lagi berada di gelanggang. Tubuh saya tidak mengizinkan. Itu saja. Saya tenang sekarang.

“Saya dah buat segala yang mampu untuk miliki karier terbaik, dan sekarang saya menikmati fasa baharu dalam hidup saya. Saya tahu ia takkan sehebat karier tenis saya, sebab adrenalin dalam sukan adalah mustahil untuk ditemui dalam perkara lain dalam hidup.

“Tapi itu tidak bermaksud saya akan kurang bahagia,” katanya.

Menurut Nadal, dia langsung tidak bermain tenis sejak bersara pada November lalu, sebaliknya kini lebih memberi fokus kepada akademi tenisnya, yayasan amal dan urusan perniagaan.

“Saya belum sentuh raket sejak bersara. Jadi dah enam bulan saya tak jejak gelanggang. Tapi saya akan kembali juga nanti, mungkin untuk satu aksi pertunjukan atau acara seumpamanya,” katanya lagi.

Nadal turut berkongsi bahawa dai kehilangan sentuhan kompetitifnya buat seketika selepas meninggalkan dunia tenis termasuk ketika bermain golf.

“Saya tak tahu kenapa, tapi bila saya main golf atau buat apa-apa pun, saya tak peduli pun kalau kalah, menang, main elok atau teruk. Ia rasa yang sangat asing bagi saya dan tak menyeronokkan.

“Sejujurnya, saya tak suka rasa begitu sebab saya faham sukan dengan cara yang berbeza. Tapi itu cerita lama. Sekarang semangat bersaing saya dah kembali,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top