norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Nadia Brian, 34, menafikan gosip mendakwa dia menjalin hubungan cinta dengan VIP berstatus Datuk.
Nadia berkata, dia belum bertemu lagi dengan mana-mana lelaki untuk dijadikan suami, namun mengakui ada berkawan dengan sesiapa saja tanpa mengira ‘pangkat’ lelaki itu.
“Impian berkahwin itu ada. Siapa yang tak nak kahwin. Tapi, calonnya (suami) itu yang belum ada. Cuma, saya kini berusaha mempersiapkan diri menjadi lebih baik.
“Hanya persiapan diri sendiri saja. Tapi, siapa calon itu yang betul nanti, kita dah ‘prepare’ diri. Jadi, apa pun yang muncul itu (kisah cinta), hanya gosip.
“Datuk ke atau sesiapa pun, saya kawan saja. Tak kisahlah, orang biasa sekali pun, memang saya boleh berkawan, tapi persiapan diri sendiri itu (ke arah jadi isteri), hanya untuk saya sajalah,” katanya.
Menurut Nadia, dia memang mempunyai impian untuk berubah menjadi lebih baik dalam dirinya sebagai salah satu usaha apabila sampai jodoh dia bergelar seorang isteri semula.
“Umpamanya, bila dah jumpa orang yang tepat, boleh terus bernikah. Macam orang cakap, dah ‘complete’ terus. Cuma, masih tak jumpa lagi (calon suami).
“Mungkin, saya juga sekarang sibuk bekerja. Mungkin, kita pun tiada masa bersesuaian dan pada bulan Ramadan ini, saya banyak berdoa kepada Allah, semoga dipermudahkan dan bertemu dengan pasangan yang betul. InsyaAllah,” katanya.
Pemilik nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi ini berkata, dia juga tidak mahu lagi bercinta lama-lama, sebaliknya memilih untuk segera bernikah.
Nadia pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada 9 November 2019, namun rumah tangga mereka hanya bertahan empat bulan dan bercerai pada April 2020.
Kini hampir lima tahun hidup membujang, Nadia tidak terlepas daripada dihimpit kisah cinta baharu dan terkait gosip sehingga dia juga pernah menyuarakan hasrat ingin calon suami bergelar ustaz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




