Nadir bawa keluarga keluar Gaza, anak alami komplikasi pernafasan

Nadir bawa keluarga keluar Gaza, anak alami komplikasi pernafasan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Situasi getir dihadapi anaknya yang mengalami komplikasi pernafasan dan terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam

mendorong Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman membawa keluarganya keluar dari Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu dalam catatan di media sosial tengah malam tadi berkongsi keperitan dihadapi keluarganya yang berdepan bedilan roket tentera Israel di wilayah bergolak.

Katanya, dalam keadaan kediaman sekitarnya musnah dibom dan saudara mara meninggal dunia selain terpaksa mencatu makanan setiap hari, anak dan isterinya memutuskan untuk terus kekal bertahan di Gaza.

“Tetapi apabila anak bongsu saya mula mengalami komplikasi pernafasan, terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam di bawah bedilan roket dan meriam, kami mula berfikir bahawa mungkin sudah cukup enam bulan kami bertahan.

“Lebih-lebih lagi apabila Rafah diancam untuk dilanggar oleh musuh durjana melalui jalan darat tanpa belas kasihan, kami menyebutkan mungkin Allah aturkan jihad kami bukan dengan adanya nyawa kami yang perlu dikorbankan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk membawa keluarganya keluar juga diputuskan selepas mendapatkan pandangan dan nasihat daripada agamawan di Palestin dan Malaysia.

“Saya terus menghubungi beberapa ulama di Palestin dan di Malaysia bertanyakan pandangan mereka tentang hukum keluar daripada bumi perjuangan pada saat ini dan jawapan mereka seragam, (ia) melegakan.

“Tak ada masalah untuk wanita dan kanak-kanak keluar selagi ada niat untuk kembali ke sana apabila keadaan membenarkan. Kami beristikharah dan bertawakal. Perjuangan tak akan berakhir tetapi akan diteruskan walau tak berada di medan peperangan,” katanya.

Nadir berkata, pada awalnya, beliau tiada perancangan untuk membawa keluarganya keluar dari Gaza sejak perang meletus pada Oktober lalu.

“Saya sebutkan kepada keluarga di sana, bila sampai masanya, paling penting bila hati saya tenang mereka tetap akan keluar juga,” katanya yang memaklumkan perjuangan selepas keluar dari Gaza bermakna silat di medan baharu akan bermula.

Akuinya, nikmat melihat keluarga berada dalam keadaan selamat di sisi sangat diharapkan.

“Bayangkan, saya membawa anak-anak membeli keperluan, mereka bersorak melihat telur dan coklat kerana selama enam bulan, telur dan coklat menjadi idaman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd