khairil.ashraf@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatat sejarah baharu apabila mengumumkan agihan dividen berjumlah RM21,002,941 bagi tahun kewangan 2024, sekali gus menjadi agihan tertinggi sejak penubuhan organisasi itu pada tahun 1972.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, agihan dividen itu membabitkan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) selaku pelabur dalam NAFAS.
Menurutnya, ia sekali gus memberi manfaat kepada rangkaian 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara serta lebih 400,000 ahli peladang.
“Selepas beberapa tahun pelabur tidak menerima agihan dividen, tahun 2024 menjadi detik penting apabila 14 Pertubuhan Peladang Negeri selaku pelabur NAFAS akhirnya menerima pulangan daripada pelaburan mereka.
“Pencapaian ini mencerminkan kejayaan pelaksanaan Pelan Reformasi NAFAS 2.0 yang berjaya memulihkan prestasi organisasi serta memperkukuh kedudukan kewangan bagi memastikan manfaat dapat dikembalikan kepada komuniti peladang,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Dividen PPN dan Majlis Iftar NAFAS 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pelaksanaan agihan dividen itu turut dipercepatkan melalui perintah khas bagi memastikan kebajikan ahli peladang terus terpelihara.
“Melalui perintah khas yang diperuntukkan kepada menteri, agihan keuntungan ini dapat dilaksanakan lebih awal menjelang sambutan Aidilfitri.
“Keputusan ini dibuat kerana saya berpendirian bahawa obligasi sosial terhadap lebih 400,000 anggota peladang tidak wajar terjejas akibat penggantungan yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai pengagihan dividen bagi tahun 2025, Mohamad berkata, ia masih dalam proses pengauditan.
Beliau turut menjangkakan pengumuman pengagihan dividen tahun 2025 itu akan dibuat pada tahun ini.
“Untuk tahun 2025 masih lagi dalam proses audit. Jadi selepas audit nanti kita akan isytihar.
“Ia dijangka diumum tahun ini juga, insya-Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




