Nafi ‘gold digger’, bekas isteri cuma minta penyanyi lelaki muncul bagi nafkah anak

Nafi ‘gold digger’, bekas isteri cuma minta penyanyi lelaki muncul bagi nafkah anak

Seorang wanita dikenali sebagai Zurini Hasbullah meluahkan rasa terkilan apabila dikecam sebagai ‘gold diger’ apabila meminta bekas suaminya yang juga seorang penyanyi untuk membayar nafkah anak-anak yang telah tertunggak.

Memetik laporan dari Berita Harian, Zurini memaklumkan yang dia  terpaksa membesarkan tiga anak mereka bersendirian selepas diabaikan suaminya itu sejak beberapa tahun lalu.

“Orang boleh kecam saya, tuduh saya macam-macam. Tetapi jika mereka berada di tempat saya, mungkin mereka faham keperitan yang terpaksa saya tanggung selama ini.” katanya.

Lebih memeritkan lagi, anak pertama dan keduanya yang berusia 14 dan 11 tahun menghidap penyakit autisme dan disleksia, manakala anak bongsu pula turut dalam pemerhatian doktor kerana menunjukkan tanda-tanda yang sama dengan penyakit tersebut.

Ujar bekas pramugari itu lagi, tindakannya membuat pendedahan di aplikasi TikTok bukanlah untuk meraih simpati tetapi mahu bekas suaminya bertanggungjawab terhadap ketiga-tiga anak mereka.

“Jujur saya katakan, sejak kami mendirikan rumah tangga di Kuala Lumpur pada 2009, segala perbelanjaan saya tanggung kerana suami tiada pekerjaan tetap.
Kami sah bercerai pada 2019, itu pun selepas saya sendirian turun naik mahkamah di Kuching berkali-kali untuk menuntut fasakh selepas suami gagal dikesan untuk tempoh yang lama,” katanya.

Tambahnya, bekas suami ‘muncul’ pada 2020 apabila menyertai satu pertandingan nyanyian sehingga berjaya mendapat tempat pertama dan memenangi RM100,000.

Kebetulan ketika dia memuat naik luahannya berkenaan nafkah anak-anak, bekas suaminya itu telah memenangi program tersebut sehingga dirinya dituduh sebagai ‘gold diger’.

“Ada warganet yang tidak mengenali saya pun malah tidak tahu cerita sebenar, tiba-tiba menuduh saya sebagai ‘gold digger’, mengambil kesempatan atas kemenangan dialah dan macam-macam lagi.
“Apa yang saya lakukan ialah untuk menuntut supaya bekas suami menyedari tanggungjawab dia untuk memberi nafkah kepada anak-anaknya yang semakin membesar…, itu sahaja,”katanya lagi.

Menurut Zurini, dia kini menampung perbelanjaan harian dan keperluan anak-anak dengan menjual kraftangan yang dikaitnya sendiri termasuklah menerima mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) serta bantuan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang diterima setiap tiga bulan sekali buat anak-anaknya.

“Malah ada juga kawan-kawan lama di Kuala Lumpur dan Singapura menghulurkan wang bagi meringankan beban yang terpaksa saya tanggung kini.
“Ia termasuk perbelanjaan bagi menyelenggara kereta Perodua Kancil usang yang saya gunakan untuk menghantar anak-anak ke sekolah, bayar bil, sewa rumah, kos perubatan kerana kesihatan saya selalu terganggu,” jelasnya.

Diakhir perbualan itu, wanita berusia 43 tahun berkenaan meminta agar bekas suaminya tampil bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka kerana sudah berbelas tahun dia menguruskan anak-anak tanpa dibantu olehnya.

Dia juga meminta agar penyanyi berkenaan sedar bahawa dirinya tidak muda selamanya dan berubahlah sebelum ajal menjemput.

Sumber: Berita Harian (Mohd Roji kawi), TikTok Ninie Hasbullah