Nafi tolak kolaborasi dengan Aina, karya terbaik ambil masa – Ernie

Nafi tolak kolaborasi dengan Aina, karya terbaik ambil masa – Ernie

am@hmetro.com.my

Putrajaya : “Saya tidak pernah menolak apa-apa tawaran dan kolaborasi terutamanya bersama Aina Abdul dan itu tidak benar sama sekali,” kata penyanyi popular, Ernie Zakri.

Ernie berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan dirinya menolak tawaran untuk kolaborasi bersama rakan seperjuangan itu seperti diperkatakan segelintir pihak.

Menurut Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, dia dan Aina sering berhubung untuk berbicara mengenai kolaborasi itu tetapi perlu mengutamakan perancangan yang sudah diatur membabitkan karier nyanyian masing-masing terlebih dahulu.

“Saya tidak pernah menolak apa sahaja tawaran untuk bekerjasama dengan Aina, cuma buat masa ini apa yang saya boleh katakan masing masing sudah ada ‘planning’ (perancangan) dalam karier seni.

“Saya dan Aina memang selalu berhubung antara satu sama lain menerusi ‘text’ untuk bercakap mengenai kolaborasi ini tetapi setiap kali kita mahu kerjasama banyak ‘planning’ (perancangan) yang datang lebih dahulu buat saya dan Aina.

“Jadi sudah pasti kita tengah bincang mengenai kerjasama ini dan secara kebetulan masa itu tidak tepat untuk kami berdua setakat ini,” katanya.

Ernie ditemui pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026 di sini.

Mengulas lanjut, penyanyi yang dinobatkan Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 37 (ABPBH37) itu berkata, dia dan Aina sudah berbincang mengenai kolaborasi itu kira-kira tiga hingga empat tahun lalu.

“Aina ada pihak pengurusannya begitu juga saya dan kami harus mengutamakan perkara itu dahulu.

“Saya dan Aina juga ada album ketika itu, jadi bila kita sudah laksanakan promosi album dan semuanya sudah selesai, barulah kita bincang kerjasama ini.

“Insya allah, kita tengok tahun ini macam mana, kalau ada keizinan untuk kami bekerjasama,” katanya.

Ditanya dari segi karya yang akan dihasilkan pula, kata Ernie, semuanya sudah ada dalam ‘kepala’ dari segi konsep dan perancangannya.

“Saya kena berjumpa dan duduk berbincang dengan Aina untuk kita boleh sama-sama hasilkan sebuah karya yang hebat nanti.

“Kadang-kadang, karya yang terbaik mengambil sedikit masa. Jadi saya sentiasa yakin Allah SWT akan datangkan ‘timing’ (waktu) yang ‘cantik’ (tepat) untuk saya dan Aina, Insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top