am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya hanya doa yang baik-baik buat mereka,” kata pelakon Nafiez Zaidi, 33, ketika diminta mengulas hubungan bekas kekasihnya, pelakon Fify Azmi dengan Niezam Zaidi yang sudah berakhir baru-baru ini.
Nafiez berkata, dia hanya dapat tahu hubungan Fify dan Niezam sudah berakhir menerusi berita yang dilaporkan.
“Kami memang sudah lama tidak berhubung selepas berpisah dulu. Saya juga dapat tahu perkara itu pun bila terbaca berita yang disiarkan.
“Saya tak tahu apa cerita sebenarnya kerana tak ambil tahu langsung selepas berpisah termasuk di media sosial pun kami sudah tiada apa apa,” katanya ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem lakonannya, Martabat Misi Berdarah arahan bersama pelakon Zahiril Adzim dan Adrian Teh di sini, baru-baru ini.
Ditanya sama ada dia tahu punca perpisahan pula, kata Nafiez, dia tidak mengetahui lanjut mengenai perkara itu malah memilih untuk tidak mengulas panjang kerana enggan ambil tahu.
Mengenai Fify yang dikatakan membantu mempromosikan filem lakonannya di media sosial pula, kata Nafiez, dia juga tidak mengetahui perkara itu.
“Saya tak tahu pun dia (Fify) mempromosikan filem lakonan saya dan saya ucapkan berbanyak terima kasih sahaja.
“Mungkin sebab dia pun pernah berlakon dalam filem terbitan ACT 2 Pictures dan saya anggap dia mahu beri sokongan pada produksi lah,” katanya.
Berkongsi soal pengganti pula, kata Nafiez, dia masih lagi solo dan berasa takut untuk memulakan perhubungan yang baru.
“Saya pernah mulakan hubungan baru tapi sekerat jalan kerana mungkin masih dalam dilema.
“Kini, saya reda sahaja. Kalau ada jodoh, adalah dan kalau takda, tak adalah,” katanya.
Kisah cinta Nafiez dan Fify mula diketahui umum sekitar Disember 2021 dan keluarga pelakon itu sudah menghantar rombongan merisik pada Jun 2022.
Namun, hubungan Nafiez dan Fify mula renggang dan menemui titik noktah sekitar Hari Raya Aidilfitri pada 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




