Pelakon Nafiez Zaidi, 33, memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kisah perpisahan bekas kekasihnya, Fify Azmi dengan aktor Niezam Zaidi yang menjadi perhatian ramai baru-baru ini.
Mahu terus memandang ke hadapan dan enggan memberi komen panjang, aktor kacak ini hanya mendoakan yang terbaik buat pasangan berkenaan.

“Sejujurnya, selepas putus cinta dengan Fify, saya tak tahu perkembangannya. Hanya tahu mengenai berita yang dipaparkan media.
“Baru-baru ini, saya ada terbaca kisah perpisahan mereka. Saya tidak tahu apa cerita sebenanya. Saya tak nak ambil tahu langsung selepas apa yang pernah berlaku sebelum ini.
“Dalam media sosial pun kami sudah tidak ada apa-apa. Saya tak nak komen panjang mengenai hal ini. Saya hanya nak doakan yang baik-baik untuk mereka,” katanya.

Terdahulu, hubungan cinta antara Nafiez dan Fify mula menjadi bualan pada Disember 2021 sebelum keluarga Nafiez dilaporkan menghantar rombongan merisik pada Jun 2022. Namun, ikatan tersebut berakhir sekitar Aidilfitri 2023.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Wok ini turut mendedahkan dirinya masih belum bersedia untuk membuka hati kepada cinta baharu.
“Sekarang saya masih solo. Saya pernah cuba mulakan hubungan baru, tetapi terhenti di tengah jalan. Hendak kata saya kecewa, tak adalah sebab saya sudah lama ‘moved on’.
“Mungkin masih dalam dilema sebab takut pengalaman lama berulang. Sekarang saya reda saja… Kalau ada jodoh, ada. Kalau tidak, saya terima.


“Fokus saya sekarang ini adalah bisnes dan lakonan. Sebagai ketua keluarga, selepas ayah tiada, tumpuan saya lebih kepada menjaga keluarga yang saya cintai,” katanya lagi.
Nafiez ditemui pada majlis tayangan gala filem Martabat: Misi Berdarah baru-baru ini.
Membawakan watak sebagai pelakon ekstra bernama Fad, filem Martabat: Misi Berdarah turut dibintangi oleh Zahiril Adzim, Fad Bocey, Shiqin Kamal, Elvina Chua, Amerul Affendi dan ramai lagi.


“Saya gembira dapat membintangi filem ini kerana ramai pelakon hebat yang turut terlibat menjayakannya. Proses penggambaran pun berjalan dengan lancar.
“Filem Martabat: Misi Berdarah mengisagkan mengenai sekumpulan pelakon tambahan yang sanggup buat apa saja demi jadi terkenal. Banyak elemen komedi yang dipaparkan, saya harap ia dapat menarik minat orang ramai untuk menonton di panggung wayang,” katanya.
Martabat: Misi Berdarah ialah sebuah filem aksi komedi arahan Adrian Teh dan Zahiril Adzim yang mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 12 Jun 2025.




