Nafuzi guna cara, taktikal sendiri bentuk KDA FC

Nafuzi guna cara, taktikal sendiri bentuk KDA FC

Nafuzi Zain terkenal dengan taktikal Nafuziball semasa membawa pasukan Terengganu FC. – Foto KDA FC

PENGENDALI baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain menghargai kuasa penuh yang diberikan kepadanya oleh kelab dalam pemilihan semua pemain bagi membentuk pasukan bagi musim 2023.

Bagaimanapun, menurutnya, Sang Kenari masih memerlukan masa untuk menjadi sebuah pasukan yang mampu memberikan cabaran apabila membawa masuk ramai pemain muda untuk digandingkan bersama pemain berpengalaman.

“Saya ada cara sendiri dari segi taktikal berdasarkan pemain yang kita ada.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan kerana memberikan sokongan 100 peratus kepercayaan dari segi pemilihan pemain dan pengurusan merealisasikan apa yang saya minta. Satu tugas mudah buat saya dengan pemilihan pemain dengan pemain yang saya mahu.

“Pemain yang kita pilih ini, kita tahu ada kualiti tetapi hebat atau tidak perlawanan sebenar yang akan menentukan sebuah pasukan itu,” katanya semasa ditemui pemberita di Padang MADA pada petang Isnin.

Nafuzi pada sesi latihan pertama KDA FC di Alor Setar pada petang Isnin. - Foto KDA FC

Nafuzi pada sesi latihan pertama KDA FC di Alor Setar pada petang Isnin. – Foto KDA FC

Beliau berkata demikian pada sesi latihan pertama KDA FC musim 2023 dengan kehadiran hampir semua pemain tempatan termasuk seorang import baharu, Amirbek Juraboev.

Namun latihan tersebut tidak melibatkan pemain yang masih bersama skuad kebangsaan iaitu, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi dan Lee Tuck manakala Manuel Ott serta pemain import baharu lain akan tiba dalam dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai kehadiran Lee Tuck pula, Nafuzi berkata, pemain berkenaan mampu membantu pasukan berdasarkan pengalaman luas dan komitmen tingginya yang sudah lama beraksi di Liga Malaysia.

“Lee tuck adalah seorang pemain yang telah lama bersama dengan saya, versatile, boleh bermain di banyak posisi.

“Dia boleh membantu pasukan untuk menjadi lebih baik, seorang pemain lama di Liga Malaysia dan pernah menjadi kapten pasukan,” ujar beliau lagi.

Tambah Nafuzi, beliau percaya dengan kemampuan ramai pemain muda yang dibawa masuk pada musim ini kerana mempunyai kualiti namun masa perlu diberikan bagi menyesuaikan diri dengan taktikal yang bakal diterapkan.