firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain nyata tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa di atas kekalahan 0-2 di tangan Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan B saingan Sukan Sea di Bangkok, Thailand, semalam.
Jelas Nafuzi, beliau sedar peminat meletakkan harapan cukup tinggi di bahu pemain untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata bagi mengesahkan kemaraan lebih awal ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.
“Saya ingin memohon maaf kerana kami tidak berjaya memberikan keputusan yang diharapkan penyokong. Saya juga sangat kecewa,” kata bekas pengendali Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC itu.
Katanya lagi, anak buahnya sudah berusaha semaksimum mungkin dan beliau berharap penyokong tidak terus kecewa dengan aksi skuad Malaysia.
“Para pemain telah berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada penyokong. Harapnya walaupun keputusan tidak menyebelahi kami, penyokong tidak terus kecewa.
“Kami akan cuba bangkit dan memberikan sesuatu kepada mereka pada masa akan datang,” katanya.
Dalam aksi semalam, Malaysia hanya menyasarkan keputusan seri namun Vietnam hadir dengan misi lebih besar untuk menundukkan skuad B-23 negara.
Dua gol skuad Naga Emas itu disumbangkan Nguyen Hieu Minh menerusi tandukan yang dijaringkan pada minit ke-11 sebelum Pham Minh Phuc menambah gol kedua di minit-22.
© New Straits Times Press (M) Bhd




