sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memberi bayangan bahawa faktor kecergasan menjadi keutamaan buat pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam menghadapi beberapa kejohanan selepas ini.
Menurut Herry, kondisi semasa Wei Chong masih belum mencapai tahap terbaik sepenuhnya, sekali gus memaksa barisan kejurulatihan merangka perancangan lebih teliti bagi memastikan pemain itu berada pada tahap optimum menjelang kejohanan utama termasuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2026.
Katanya, pemilihan kejohanan akan dibuat secara selektif dengan mengambil kira kemampuan fizikal pemain berkenaan.
“Kita belum 100 peratus pasti dengan kondisi Wei Chong, tapi kita sudah atur kejohanan mana yang sesuai untuk dia beraksi dan mana yang perlu dielakkan.
“Kita mahu pastikan dia berada dalam keadaan terbaik untuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia,” katanya.
Selain itu, Herry atau dikenali sebagai Naga Api menegaskan bahawa buat masa ini, gandingan Wei Chong-Kai Wun masih dikekalkan dan akan terus beraksi dalam beberapa kejohanan terdekat termasuk Terbuka Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan pasangan nombor enam dunia itu hanya akan beraksi dalam satu atau dua kejohanan sahaja, bergantung kepada tahap kecergasan semasa Wei Chong.
“Kita ada tiga kejohanan penting, jadi mungkin kita akan pilih satu atau dua sahaja. Dengan kondisi sekarang, agak sukar untuk dia harungi semuanya,” katanya.
Tambahnya, beliau turut mendedahkan bahawa isu kecederaan kaki yang dialami Wei Chong sebelum ini memberi kesan terhadap prestasi di dalam gelanggang, termasuk ketika saingan Piala Thomas di Horsens, Denmark baru-baru ini apabila pemain itu menyatakan dirinya tidak cergas sepenuhnya untuk diturunkan.
Jelasnya, perbincangan bersama pemain sudah dilakukan bagi mencari pendekatan terbaik termasuk memberi ruang rehat dan pemulihan secukupnya.
“Kita memang ada berbincang untuk atur jadual supaya dia ada masa untuk rehat dan pulihkan kecederaan, tapi keputusan muktamad masih belum dibuat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



