Nahas 15 maut: 'Sepatutnya saya pulang dengan bas itu'

Nahas 15 maut: 'Sepatutnya saya pulang dengan bas itu'

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: “Saya sepatutnya menyambut Aidiladha di Setiu, Terengganu dan akan pulang dengan menaiki bas bersama-sama malam tadi, namun saya ubah perancangan untuk pulang ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) lebih awal.

“Pagi ini sekitar jam 3 saya dikejutkan dengan berita bas yang membawa pelajar Upsi dan sepatutnya saya juga naik kemalangan sehingga membabitkan kematian 15 orang.”

Demikian luahan pelajar Upsi yang dikenali sebagai Alia iaitu antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang bas yang terbabit kemalangan di Jalan Gerik – Jeli berdekatan Tasik Banding, Perak, jam 1 pagi.

“Memang terkejut, terkedu mendengar rakan-rakan terbabit dengan kemalangan. Malah, ramai juga menyangka saya berada dalam bas itu memandangkan nama saya ada.

“Kesemua mangsa yang berada dalam bas berkenaan berasal dari Besut dan Setiu, Terengganu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga pelajar tahun pertama berkata, dia pulang di kampung, namun mengambil keputusan untuk balik ke Upsi pada Khamis lalu, dan menyambut Aidiladha di kampus kerana sebab tertentu.

“Namun, pagi ini ramai yang menghubungi saya kerana menyangka saya juga berada dalam bas,” katanya.

Terdahulu, seramai 15 pelajar Upsi 15 pelajar disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Jeli – Grik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top