Nahas 5 maut: Remaja pandu melulu diperintah masuk Sekolah Henry Gurney

Nahas 5 maut: Remaja pandu melulu diperintah masuk Sekolah Henry Gurney

mdroji@bh.com.my

Kuching: Mahkamah Majistret Kuching, hari ini memerintahkan remaja lelaki berusia 15 tahun yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan lima maut dalam kemalangan di Jalan Teo Kui Seng (Jalan Stutong Baru), Januari lalu, menjalani hukuman selama enam tahun di Sekolah Henry Gurney dan didenda RM1,500.

Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman itu selepas remaja terbabit mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya pada 14 Mei lalu.

Bagi pertuduhan pertama, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lima mangsa.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu tanpa lesen kerana belum cukup umur di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat atas alasan peningkatan jumlah kemalangan membabitkan golongan muda di Kuching.

Menurutnya, hukuman setimpal perlu sebagai pengajaran kepada masyarakat, kepentingan awam serta sikap tidak menunjukkan penyesalan oleh tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja itu melakukan kesalahan berkenaan di Jalan Teo Kui Seng pada 1.10 tengah hari, 14 Januari lalu.

Kemalangan itu menyebabkan lima mangsa berusia antara 16 hingga 45 tahun iaitu tiga lelaki, seorang wanita dan seorang remaja lelaki maut.

Rakaman kamera pemuka kejadian itu tular di media sosial menunjukkan kereta dipandu tertuduh hilang kawalan dari arah Jalan Lapangan Terbang menuju ke Jalan Stutong Baru sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh beberapa kenderaan.

Pada 14 Mei lalu, lelaki berusia 35 tahun iaitu bapa tertuduh didenda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda kerana membenarkan anak bawah umur dan tidak memiliki lesen memandu kenderaan.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Nuraini Ahmad turut memerintahkan lelaki itu menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan selepas dia mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top