Ahmedabad: Mereka mahu mulakan hidup baharu di London, namun hanya 32 saat selepas pesawat berlepas, impian pasangan doktor ini bersama tiga anak kecil mereka musnah dalam sekelip mata.
Swafoto terakhir mereka, yang diambil di dalam pesawat Air India 171, kini tular di media sosial, tidak lama tragedi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 265 nyawa, pada Khamis.
Ia memaparkan Dr Prateek Joshi dan isterinya, Dr Komi Vyas, tersenyum ceria, manakala anak-anak mereka — dua lelaki kembar dan seorang anak perempuan — duduk di seberang lorong pesawat dengan wajah teruja.
Keluarga itu dalam perjalanan dari Ahmedabad ke London, yang mana Dr Komi baru meletakkan jawatan sebagai doktor di Hospital Pacific, Udaipur, untuk mengikuti suaminya yang mahu berpindah dan menetap di sana.
Menurut jurucakap hospital itu, “Komi baru berhenti kerja minggu lalu. Ini kali pertama mereka akan tinggal bersama sekeluarga di luar negara.”
Anak kembar mereka, Nakul dan Pradyut, berusia lima tahun, manakala anak perempuan mereka, Miraya, berusia lapan tahun.
Abang kepada Dr Komi, Prabuddha, memaklumkan pasangan itu sudah berkahwin sejak 10 tahun lalu
Sepupu Dr Prateek, Nayan, memaklumkan pasangan itu bertolak ke Ahmedabad sehari sebelum kejadian.
“Prateek baru tiba dua hari lepas untuk membawa isteri dan anak-anak pulang bersamanya. Ramai saudara-mara turut menghantar mereka (untuk menaiki penerbangan ke London).”
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad pada jam 1.38 tengah hari dan hanya berada di udara selama 32 saat sebelum menjunam dan meletup, dipercayai akibat kegagalan enjin atau kehilangan daya angkat ketika penerbangan.
Menurut bekas juruterbang senior, Kapten Saurabh Bhatnagar, “Pesawat mula menjunam sejurus selepas berlepas. Ini hanya berlaku jika enjin gagal menjana kuasa atau pesawat tidak dapat menghasilkan daya angkat mencukupi.”
Hanya seorang penumpang terselamat – Vishwash Kumar Ramesh, 40, warga British-India yang dalam perjalanan pulang ke United Kingdom (UK) selepas lawatan keluarga.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan tragedi itu sebagai “terlalu menyayat hati untuk diungkap” dan mengesahkan beliau sedang berhubung dengan menteri serta pihak berkuasa bagi membantu mangsa dan keluarga mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd