Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa kemalangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau berkata, musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang, seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.
Nahas bas UPSI
“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” ujar beliau dalam sebuah hantaran di Instagram, hari ini.
Artikel lain: MCMC tegaskan tiada akses kepada data peribadi dalam projek statistik MPD
Nahas bas UPSI
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan pihaknya akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan kemalangan yang membabitkan pelajar UPSI.
“Salam Takziah untuk semua keluarga mangsa kemalangan yang turut melibatkan warga UPSI awal pagi tadi. Sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan 15 orang dilapor disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Upsi dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.
Sumber: Instagram @Anwar Ibrahim, Zambryabdkadir