Nahas bas UPSI: APAD keluar surat tunjuk sebab kepada syarikat bas

Nahas bas UPSI: APAD keluar surat tunjuk sebab kepada syarikat bas

Kuala Lumpur: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pada masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan turut menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan terhadap bas serta syarikat terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Pengangkutan Awam Darat.

“Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai. Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh dasar keselamatan jalan raya bagi melindungi pengguna terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab dan kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Loke berkata antara dasar yang sedang dirangka ialah pelaksanaan wajib Speed Limiter bagi kenderaan berat yang kini diteliti secara menyeluruh termasuk menutup sebarang ruang manipulasi selepas ia dikuat kuasa.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak pengurusan UPSI dalam menyantuni waris pelajar terlibat.

Loke berkata tragedi itu perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak bahawa tiada kompromi dalam soal keselamatan nyawa.

Nahas yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi semalam itu menyaksikan 15 pelajar UPSI maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Tragedi itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang MPV jenis Perodua Alza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top