am@hmetro.com.my
Ipoh: Nur Aini Samiun, 44, balu anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, yang maut dalam nahas di Teluk Intan, menegaskan belum bersedia menerima sebarang permohonan maaf daripada syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan meragut nyawa suaminya.
Beliau memberi reaksi itu susulan laporan bahawa pemilik syarikat berkenaan menyuarakan hasrat untuk bertemu keluarganya dan menyampaikan permohonan maaf secara peribadi.
“Apa yang mereka nak minta maaf? Pemandu mereka sendiri pun mereka tak ambil peduli. Macam mana mereka boleh tak bertanggungjawab terhadap pekerja sendiri?
“Saya tak tahu. Saya belum sempat fikir semua itu. Sekarang ini terlalu banyak perkara lain yang perlu saya uruskan, terutama anak-anak,” kata suri rumah itu ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Selasa lalu, Mohd Roslan antara sembilan anggota FRU yang terkorban apabila trak dinaiki mereka dirempuh sebuah lori sarat dengan muatan batu di Kilometer 15, Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Mohd Roslan meninggalkan Nur Aini bersama tiga cahaya mata, termasuk seorang anak lelaki sindrom down, Muhd Raqin Najmi, 13; Muhd Rizqi Nazhan, 9; dan Nur Aqeela Rawida, 6.
Nur Aini mengakui, keluarganya masih bergelut dengan kehilangan lelaki yang disifatkannya sebagai suami penyayang dan bapa yang begitu komited kepada anak-anak.
“Alhamdulillah, saya dah mula rasa sedikit kuat. Tapi kadang-kadang kenangan tu datang, dan sedih pun ikut sekali. Tapi saya kena kuat demi anak.
“Menangis macam mana pun, sekalipun menangis darah, dia takkan kembali. Itulah kenyataannya,” katanya.
Sebagai suri rumah sepenuh masa, Nur Aini berkata, suaminya yang berusia 46 tahun itu adalah tonggak keluarga — membesarkan anak-anak bersama-sama dan menguruskan kewangan rumah tangga.
“Anak-anak masih bercakap tentang ayah mereka. Yang bongsu (Aqeela) tanya saya, ‘Kenapa lori langgar Ayah sampai Ayah mati? Siapa nak main masak-masak dengan saya sekarang?’
“Suami saya sangat rapat dengan mereka. Kalau saya sibuk, dia tak pernah berkira untuk bantu. Saya uruskan hal anak-anak, dia uruskan duit. Sekarang, semua saya kena tanggung sendiri,” katanya.
Beliau berkata, anak bongsunya sering menangis walaupun sedang tidur, manakala anak kedua menjadi sangat pendiam dan memendam emosi.
“Bila mereka rindukan ayah, saya cuma peluk mereka erat-erat. Saya dan suami memang suka peluk anak-anak. Saya sayangkan dia sangat-sangat. Dia baik dengan semua orang.
“Dia jaga ibu bapanya sampai ke akhir hayat. Siap ambil cuti semata-mata nak bersama mereka pada hari-hari terakhir. Dan tak lama lepas tu, dia pula yang pergi,” katanya, sambil memaklumkan bahawa bapa Roslan meninggal dunia pada Januari lalu.
Nur Aini merancang untuk terus menetap di rumah yang dibeli suaminya empat tahun lalu di Jalan Kinding Raya demi memastikan persekolahan anak-anak tidak terganggu.
“Insya-Allah, saya akan terus tinggal di sini sebab anak-anak perlu ke sekolah. Saya tak nak pelajaran mereka terjejas. Bulan depan ada peperiksaan, jadi saya kena kuat demi mereka.
“Saya dah minta ibu bapa saya datang tinggal sementara dengan kami, untuk bantu kami semua bangkit semula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




