am@hmetro.com.my
Kuantan: Tiga individu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dan cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Bezza yang mengorbankan lima ahli keluarga semalam, dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ketiga-tiga mangsa pada awalnya menerima rawatan di Hospital Jerantut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.
“Mereka kemudian memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta dan kini sedang dirawat di Kuala Lumpur. Polis akan merakam kenyataan mereka selepas mendapat kebenaran daripada pihak hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Yahaya berkata, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun mengalami kecederaan di kaki dan dada, manakala seorang penumpang lelaki berusia 28 tahun turut mengalami kecederaan di dada.
“Seorang wanita warga Thailand berusia 28 tahun yang turut berada dalam kenderaan tersebut cedera di bahagian leher. Ketiga-tiga mangsa tinggal di Jerantut,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa pemandu Alphard tidak memiliki lesen memandu yang sah, Yahaya berkata siasatan sedang dijalankan dan jika dakwaan itu disahkan, tindakan akan diambil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Proton Bezza yang membuat pusingan U secara tiba-tiba di simpang di Kilometer 7 Jalan Jerantut-Maran.
“Penemuan ini konsisten dengan kerosakan yang diperhatikan pada kedua-dua kenderaan, khususnya di bahagian kanan Proton Bezza,” katanya.
Dalam kemalangan pada tengah malam semalam, lima individu termasuk empat adik-beradik yang menaiki Proton Bezza maut di tempat kejadian, manakala tiga yang menaiki Toyota Alphard cedera.
Berita berkaitan:
Muat naik status ‘itulah jalan pertama dan terakhir akan dilalui’ jadi petanda
‘Tak sangka itu video terakhir… lepas itu terus senyap’ – Bapa
5 maut di Jerantut: Panggilan terakhir ‘tersilap simpang’
Terkini: Identiti 5 mangsa kemalangan maut di Jerantut
‘Saya dah larang mereka banyak kali jangan pergi…’ – Ibu
5 sekeluarga maut, nahas 2 kenderaan di Jerantut
© New Straits Times Press (M) Bhd