Nahas pelajar UPSI: Bantuan tambahan RM10,000 buat keluarga mangsa maut, RM5,000 mangsa cedera

Nahas pelajar UPSI: Bantuan tambahan RM10,000 buat keluarga mangsa maut, RM5,000 mangsa cedera

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan tambahan kepada semua mangsa yang terjejas dalam insiden kemalangan bas di Gerik, Perak, kelmarin.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia akan menerima bantuan tambahan RM10,000.

Bagi mangsa lain yang cedera, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, mereka akan menerima bantuan tambahan RM5,000.

“Perdana Menteri sudah maklumkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan bantuan tambahan kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia sebanyak RM10,000 dan yang cedera, RM5,000.

“Perdana Menteri juga sudah arahkan Jabatan Peguam Negara meneliti dari aspek insurans kepada mangsa-mangsa ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Isnin lalu, 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan kembali ke kampus maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, terbalik sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, awal pagi kelmarin.

Nahas itu turut menyebabkan 33 lagi mangsa cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan akan menyalurkan bantuan awal RM2,000 dan bantuan bencana RM1,000 kepada waris mangsa terbabit dalam tragedi itu.

Kerajaan Perak turut mengumumkan sumbangan bantuan awal berjumlah RM1,000 kepada waris setiap mangsa kemalangan, manakala Kerajaan Terengganu pula dengan bantuan one-off RM3,000 kepada 15 keluarga mangsa yang maut.

Bagi mangsa yang cedera pula, kerajaan Terengganu dilapor akan menyalurkan bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 kepada 33 mangsa terbabit.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kejayaan Harimau Malaya menewaskan Vietnam dengan jaringan besar 4-0 malam tadi, satu rentak permulaan untuk skuad negara melakar kejayaan lebih besar dalam saingan seterusnya nanti.

“Ia mengakhiri kemarau 11 tahun Malaysia (tidak pernah menang) menentang Vietnam. Ia saat cukup bersejarah dan membanggakan. Semoga Harimau Malaya kekal bersiap sedia dalam mengharungi pertandingan akan datang,” katanya.

Menyentuh pencapaian Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion pada suku pertama 2025, iaitu meningkat 3.7 peratus dari tahun ke tahun, Fahmi berkata, ia membuktikan dasar ekonomi yang dikhususkan kerajaan sudah membuahkan hasil sementara kestabilan politik yang ada kini berjaya meyakinkan pelabur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top