am@hmetro.com.my
Segamat: Polis mengesahkan pemandu treler yang merempuh belakang van dinaiki lima sekeluarga hingga mengorbankan tiga nyawa termasuk suami isteri didapati positif dadah.
Ia susulan saringan air kencing dijalankan terhadap pemandu berusia 20-an itu sejurus kemalangan di Kilometer 210, Jalan Johor Bahru-Seremban dekat simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru, di sini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, siasatan kes yang sebelum ini dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini bertukar kepada Seksyen 44 (1) (a) akta sama.
“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Segamat pagi ini,” katanya ketika dihubungi.
Dalam nahas kira-kira 4 petang Khamis yang membabitkan tiga kenderaan, suami isteri serta seorang ahli keluarga maut selepas van dinaiki dirempuh dua lori.
Dua mangsa maut di lokasi adalah pemandu van berusia 70-an serta dua penumpang
berusia antara 20-an hingga 60-an, manakala dua lagi penumpang van yang parah dihantar ke Hospital Segamat untuk rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




