Nahas trak FRU: 15 minit sebelum nahas arwah suami mesej mengantuk, hantar swafoto

Nahas trak FRU: 15 minit sebelum nahas arwah suami mesej mengantuk, hantar swafoto

am@hmetro.com.my

Ipoh: “Saya sempat bersembang menerusi WhatsApp dengan arwah suami kira-kira 15 minit sebelum kemalangan berlaku,” kata Haswati Rosdi, 44, isteri kepada Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas di Teluk Intan semalam.

Menurutnya, arwah suaminya juga menghantar gambar swafoto dan semasa penugasan di Teluk Intan, selain memaklumkan mengantuk ketika dalam trak FRU yang berkonvoi untuk pulang ke Ipoh.

“Kira-kira 8.35 pagi pada hari kejadian, suami mesej memberitahu dalam perjalanan pulang.

“Arwah turut menghantar gambar swafoto di dalam trak sebelum memaklumkan mengantuk dan kami berhenti bersembang.

“Lepas itu saya ada hubungi abang (panggilan untuk suami) namun terkejut apabila anggota bawahannya kata trak FRU kemalangan.

“Namun, ketika itu saya tidak tahu keadaan suami sehingga ibu mentua bertanya di pejabat,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke rumahnya, di sini hari ini.

Haswati berkata arwah suaminya ada menunjukkan beberapa perubahan beberapa hari sebelum nahas termasuk tidak mencium dahinya ketika kali terakhir bersama, lebih pendiam dan membeli sabun dalam kuantiti banyak.

Katanya, sehari sebelum kejadian, mereka sempat bersarapan bersama dan makan makanan kegemarannya, rojak sotong di Greentown, di sini.

“Dia memang suka makan rojak sotong di situ, sebelum itu pun dia belikan barang dapur seperti ikan untuk bekalan seminggu, selain membeli tiga pek sabun 15 kilogram,” katanya yang menyifatkan Damarrulan sebagai suami dan ayah yang sangat bertanggungjawab.

Sementara itu, Saifuddin berkata sepasukan kaunselor ditugaskan untuk memberi sokongan emosi kepada waris anggota FRU yang maut dalam kemalangan itu.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan untuk mempermudahkan penyaluran bantuan termasuk bantuan kewangan kepada waris dan keluarga mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top