Nahas trak FRU: Anak istimewa hilang tempat mengadu kasih

Nahas trak FRU: Anak istimewa hilang tempat mengadu kasih

Teluk Intan: Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini pagi tadi, bukan sahaja satu kehilangan besar kepada pasukannya, malah turut memadamkan sinar kebahagiaan tiga anaknya, khususnya anak sulungnya yang menghidap sindrom Down.

Kakak ipar Allahyarham yang enggan dikenali berkata Mohd Roslan adalah seorang bapa penyayang dan sangat rapat dengan anak sulungnya, Muhd Raqin Najmi, 13, selain dua lagi anak masing-masing berusia sembilan dan enam tahun.

“Muhd Raqin sangat manja dan rapat dengan arwah. Biasanya, arwah akan tidur bersama anak-anak dan sentiasa meluangkan masa bermain dengan mereka.

“Saya tidak dapat bayangkan penerimaan Muhd Raqin apabila dia menyedari ayahnya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan.

Muhd Raqin yang hadir bersama ibunya di jabatan itu kelihatan terpinga-pinga melihat kehadiran begitu ramai orang di situ yang terdiri daripada waris serta rakan-rakan sekerja bapanya dan anak istimewa itu mungkin masih belum menyedari bahawa dia telah kehilangan seorang daripada insan yang amat disayanginya.

Mohd Roslan merupakan salah seorang daripada sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang disahkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan trak FRU dinaiki 18 anggota termasuk pemandu dan sebuah lori membawa muatan batu.

Sementara itu bagi Pandak Rompan, 71, belum terubat rasa sakit akibat kehilangan cucu lelaki tahun lepas akibat sakit jantung, hari ini dia diuji pula dengan pemergian anak ketiganya Koperal Nurit Pandak, 34, dalam kemalangan itu.

Pandak berkata beliau menerima panggilan mengenai kejadian yang menimpa anak ketiganya itu pada 10 pagi tadi ketika sedang berehat di rumahnya di Kampar.

Walaupun terkejut dan sedih dengan kejadian itu, namun sebagai seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pandak tetap berbangga dengan anaknya yang terkorban selepas menjalankan tugas.

Beliau berkata mendiang berkhidmat dalam PDRM lebih 10 tahun dan pernah bertugas di Cheras, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Markas FRU Unit 5 Sungai Senam di Ipoh.

Beliau menyifatkan Nurit sebagai anak yang bertanggungjawab, ceria dan rapat dengan ahli keluarga termasuk empat adik-beradik yang lain.

Mengenai urusan pengebumian, beliau berkata mendiang anaknya itu akan dikebumikan di Kampung Orang Asli Bukit Terang di Kampar selepas urusan bedah siasat selesai.

Sahal Zabri, 35, adik kepada seorang lagi mangsa yang terkorban, Koperal Amiruddin Zabri, 38, berkata keluarganya masih terkejut dengan berita kematian abangnya yang sebelum ini bertugas sebagai anggota polis biasa sebelum menyertai FRU.

” Sebelum kejadian, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda atau kelakuan pelik, jadi berita kematiannya amat mengejut ahli keluarga,” katanya yang turut memaklumkan jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Itek, Gopeng.

Berita berkaitan

* 8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan

* Kemalangan FRU: Angka kematian meningkat sembilan orang – Polis

* Kemalangan FRU: Lori muatan batu dipercayai alami kegagalan stereng – Polis

* PDRM akan pastikan keluarga anggota FRU terbabit kemalangan di Teluk Intan terjaga

* Tragedi kedua babit anggota FRU selepas 35 tahun

* Identiti nama 9 anggota FRU yang terkorban nahas sudah dikenal pasti

* Suasana pilu di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan

* Nahas FRU: PM Anwar mahu siasatan menyeluruh, bantu mangsa dan keluarga

* Saksi dakwa lori muatan batu mahu elak kenderaan sebelum bertembung trak FRU

* ‘Saya sangka abang hanya cedera, rupanya dia sudah tiada’

* Arwah sangat gembira dikurniakan anak perempuan selepas 10 tahun menunggu – Isteri Koperal Amiruddin

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top