yusri.muzamir@bh.com.my
Teluk Intan: Proses bedah siasat bagi keseluruhan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas di Kilometer 15, Sungai Lampam, Simpang Tangki Air di Langkap di sini, dijangka selesai menjelang tengah malam ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata setakat ini, tiga jenazah sudah selesai menjalani proses bedah siasat yang dijalankan secara serentak oleh tiga doktor berlainan.
“Setiap proses (bedah siasat dilakukan) antara dua hingga tiga jam. Jadi kita jangka antara jam 10 hingga 11 malam nanti (prosedur berkenaan) akan selesai.
“Jenazah kemudian akan dimandikan di hospital dan disolatkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, sebelum dibawa ke Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5 di Ipoh untuk disolatkan sekali lagi dan urusan penghormatan terakhir.
“Kemudian jenazah akan dibawa ke lokasi pengebumian, masing-masing dua di Kampar, manakala Ipoh (tiga); Taiping (tiga) dan Lunas, Kedah (satu),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, sembilan anggota FRU Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dilaporkan terbunuh dalam nahas membabitkan lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini.
Mereka adalah Sarjan S Perumal; Koperal Nurit Pandak; Koperal Amiruddin Zabri; Koperal Mohd Pozli Jaudin; Koperal Akmal Muhamad; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan, sembilan lagi mangsa nahas itu sedang dirawat di Hospital Teluk Intan di sini, masing-masing enam di Zon Merah dan bakinya di Zon Kuning.
“Bagaimanapun, seorang daripada mangsa terbabit sudah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk menjalani pembedahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




