Nahas trak FRU: Lori bawa bahan muatan salah, berat berlebihan

Nahas trak FRU: Lori bawa bahan muatan salah,  berat berlebihan

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lori tipper yang menyebabkan pelanggaran dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, bulan lalu, dikesan membawa bahan muatan salah dan berat muatan berlebihan tidak selari dengan kelulusan dibenarkan.

Menurut Laporan Awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan itu, siasatan mengenal pasti wujudnya kelompangan dalam aspek pengurusan keselamatan dan pengoperasian kenderaan lori tipper termasuk tidak mematuhi Pelan Teknikal Kenderaan yang diluluskan mengikut Kaedah 9A Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan) 1959.

“Berdasarkan pelan teknikal dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lori tipper terbabit diluluskan hanya untuk mengangkut arang batu dengan ketinggian pagar sisi dibenarkan ialah 1,016 mm berdasarkan muatan coal yang mempunyai ketumpatan pukal lebih rendah berbanding batu kerikil.

“Ukuran ini disahkan semasa pemeriksaan pasca-kemalangan, namun semasa kejadian, lori itu dikesan membawa muatan batu kerikil yang tidak selaras dengan kelulusan asal sekali gus melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat (Apad) 2010 kerana membawa muatan selain dibenarkan.

“Menurut Garis Panduan Penyemakan Pelan Teknikal Kenderaan 2015, kenderaan yang mengangkut bahan binaan seperti pasir atau batu kerikil hanya dibenarkan sekiranya ketinggian pagar sisi tidak melebihi 762 mm, kecuali untuk muatan khas berketumpatan tertentu yang diluluskan sebagai jenis badan khas,” kata laporan setebal 146 muka surat yang diterbitkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MoT), hari ini.

Laporan itu berkata, rekod rasmi juga menunjukkan, lori itu menyalahi Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010 dan Kaedah 89 Kaedah-Kenderaan Bermotor kerana membawa Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kilogram (kg) iaitu 70.67 peratus melebihi had dibenarkan 24,000 kg sekali gus meningkatkan tenaga kinetik yang menyumbang kepada impak pelanggaran pada hari kejadian.

“Pengurusan tenaga kinetik kenderaan adalah kritikal dalam keselamatan jalan raya.

“Sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000 kg pada kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kJ, manakala lori BDM 40,960 kg pada kelajuan sama menghasilkan 1,422 kJ, hampir dua kali ganda.

“Berat dan kelajuan yang lebih tinggi meningkatkan impak kemalangan dan risiko kecederaan serius,” kata laporan.

Media sebelum ini melaporkan, sembilan daripada 18 anggota FRU terbunuh selepas trak dinaiki mereka bertembung dan dirempuh lori muatan batu yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.

Kejadian pada 13 Mei lalu itu turut menyebabkan lima anggota lain parah manakala empat lagi cedera.

Trak FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami apabila dilanggar lori berkenaan kira-kira 8.50 pagi pada hari kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top