am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lori membawa muatan batu dalam nahas membabitkan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, dikenal pasti gagal memenuhi keperluan pemasangan dan kefungsian sistem Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).
Laporan awal diterbitkan Kementerian Pengangkutan hari ini, berkata pihak syarikat mengesahkan sistem GPS tidak aktif, dan Surat Tunjuk Sebab berasingan dikeluarkan pada 23 Mei lalu.
Tindakan itu, katanya, tidak mematuhi garis panduan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang mewajibkan pemasangan GPS bagi semua kenderaan perdagangan berdaftar.
Pematuhan arahan itu selaras Perkara 11 Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) dan Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dengan pengecualian hanya diberi kepada bas sekolah beroperasi di bawah tiga daerah.
Berita lanjut menyusul
“Garis panduan berkaitan ditetapkan dalam Buku Panduan dan Kod Amalan Industri SPAD – Keselamatan Untuk Pengendali Berlesen Perkhidmatan Kenderaan Barangan, berkuat kuasa sejak 1 November 2013 (Kod 13 dan Kod 14).
“Antara kewajipan pengendali termasuk memastikan setiap kenderaan dilengkapi GPS berfungsi bagi pemantauan kelajuan dan lokasi, memantau serta mengambil tindakan segera ke atas pemandu yang memandu secara berbahaya atau melebihi had laju.
“Menyemak laporan GPS bagi setiap perjalanan, mengambil tindakan tatatertib dan/atau kaunseling ke atas pemandu melakukan kesalahan lalu lintas serta menyimpan rekodnya serta mencegah sebarang manipulasi atau pemalsuan data GPS.
“Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57(3) dan Seksyen 62 Akta 715, termasuk denda, penjara atau penggantungan/batal lesen,” katanya.
Laporan sama turut memaklumkan pemasangan sistem kamera papan pemuka (dashcam) masih belum diwajibkan ketika ini.
“Namun, APAD sedang mengemaskini garis panduan keselamatan untuk dijadikan Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Pengurusan Keselamatan) dengan pemasangan dashcam dijangka diwajibkan bermula suku pertama 2026,” katanya.
Pada 13 Mei lalu, trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira jam 8.50 pagi.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Sembilan lagi cedera.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd