Nahas trak FRU: Suasana sugul, hiba istiadat penghormatan terakhir

Nahas trak FRU: Suasana sugul, hiba istiadat penghormatan terakhir

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sembilan jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus – Sungai Lampam di Teluk Intan, diberikan penghormatan terakhir di perkarangan Surau Al Mustaqim, Markas FRU Sungai Senam, di sini, awal pagi tadi.

Solat jenazah dilakukan ke atas tujuh jenazah Muslim buat kali kedua selepas sesi solat jenazah yang dilaksanakan di Surau Ar-Rahman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Solat jenazah untuk kali kedua di Surau Al Mustaqim, dilakukan terhadap tujuh jenazah Muslim itu iaitu Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.

Selain itu, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33.

Tujuh jenazah Muslim itu selesai disolatkan pada 3.30 pagi, oleh lebih 500 jemaah terdiri daripada anggota polis dan ahli keluarga.

Suasana hiba apabila ratusan individu terdiri ahli keluarga dan waris mangsa hadir memberikan penghormatan terakhir terhadap jenazah.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Menteri Besar.

Jenazah kemudiannya dibawa menaiki van jenazah sama ke lokasi pengebumian masing-masing pada 4.12 pagi.

Terdahulu, sembilan jenazah itu termasuk jenazah bukan Islam iaitu mendiang Sarjan S Perumal, 44; dan Koperal Nurit Pandak, 34, tiba di perkarangan Surau Al-Mustaqim, pada 3.15 pagi sesudah selesai proses pengurusan di Surau Ar-Rahman, kira-kira 1 pagi.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif selamat dikebumikan dengan istiadat kepolisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang di sini, pada 4.50 pagi ini.

Pengebumian anggota FRU berusia 33 tahun itu dihadiri Noor Hisam serta kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai.

Jenazah itu dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan dengan Noor Hisam menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar.

Berita berkaitan

* 8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan

* Kemalangan FRU: Angka kematian meningkat sembilan orang – Polis

* Kemalangan FRU: Lori muatan batu dipercayai alami kegagalan stereng – Polis

* PDRM akan pastikan keluarga anggota FRU terbabit kemalangan di Teluk Intan terjaga

* Tragedi kedua babit anggota FRU selepas 35 tahun

* Identiti nama 9 anggota FRU yang terkorban nahas sudah dikenal pasti

* Suasana pilu di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan

* Nahas FRU: PM Anwar mahu siasatan menyeluruh, bantu mangsa dan keluarga

* Saksi dakwa lori muatan batu mahu elak kenderaan sebelum bertembung trak FRU

* ‘Saya sangka abang hanya cedera, rupanya dia sudah tiada’

* Arwah sangat gembira dikurniakan anak perempuan selepas 10 tahun menunggu – Isteri Koperal Amiruddin

* 9 anggota FRU terkorban: Pemandu lori ada pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah – Polis

* Momen terakhir anggota FRU sebelum kemalangan di Teluk Intan

* Nahas trak FRU: Bedah siasat selesai tengah malam, 6 masih kritikal, seorang dipindah ke HRPB, Ipoh

* Nahas trak FRU: Anak istimewa hilang tempat mengadu kasih

* ‘Akmal Wafi sepatutnya balik kampung hari ini, tak sangka jenazah yang pulang’

* ‘Anak kami sudah meninggal dunia, kini suami pula menyusul’

* ‘Abang sanggup tukar pekerjaan kepada anggota FRU untuk elak perkara negatif’

* PDRM, warganet berdukacita tragedi timpa 9 anggota FRU

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top