Naib kadi guna pengaruh lama

Naib kadi guna pengaruh lama

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket nikah palsu yang pernah berleluasa di Perak pada era 1990-an disahkan didalangi bekas penolong pendaftar perkahwinan atau naib kadi yang mengambil kesempatan selepas tamat tempoh perkhidmatan.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Adibah Muhammad Rivai berkata, pihak terbabit tetap menikahkan pasangan walaupun tiada tauliah sah, khususnya membabitkan kes ‘wali enggan.’

“Pada ketika itu memang banyak kes di sekitar Gopeng dan Ipoh.

“Mereka menggunakan pengaruh lama walaupun tauliah sudah ditarik balik.

“Akibatnya, banyak pasangan berdepan isu status sah nikah mereka dan kes ini perlu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk hakim mengesahkan pernikahan mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Adibah menjelaskan, kes seperti itu kini sudah tidak berlaku lagi dan dapat dibendung melalui kawalan dan penyeliaan yang dilakukan Pejabat Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Perak, di samping penguatkuasaan terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan terbabit.

“Jika seorang perempuan tiada wali atau wali enggan, dia tidak boleh terus dinikahkan naib kadi.

“Prosedurnya, permohonan mesti dibuat ke Mahkamah Syariah untuk hakim melantik wali hakim. Itu saluran sah yang wajib diikuti,” katanya.

Beliau yang juga Pendaftaran Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk berkata, bagi pasangan yang sudah bernikah menggunakan wali sindiket, Mahkamah Syariah akan menentukan status pernikahan sama ada sah atau sebaliknya berdasarkan syarat dan rukun nikah.

“Hanya mahkamah ada kuasa membuat pengesahan,” katanya.

Beliau menasihati pasangan Islam supaya tidak mengambil jalan pintas dengan bernikah melalui pihak tidak bertauliah kerana ia boleh membawa kepada masalah besar termasuk perkahwinan tidak sah dan perlu difarakkan.

Anak nikah fasid boleh bernasabkan bapa kandung

Anak dari pasangan nikah fasid dikategorikan berstatus ‘wati syubhah’ dan masih memiliki hak untuk bernasabkan bapa kandung serta mewarisi harta pusaka bapa.

Namun, bagi wanita yang kematian suami dan Mahkamah Syariah memutuskan pernikahan mereka tidak sah, wanita itu tidak boleh mewarisi harta pusaka peninggalan suaminya.

Peguam syarie, Fahmi Ramli berkata, sekiranya Mahkamah Syariah mendapati perkahwinan pasangan sebagai tidak sah, maka pernikahan itu akan difaraqkan (dibubarkan).

“Perkara ini terjadi apabila wujudnya ketidakpatuhan terhadap syarat sah nikah terutamanya membabitkan wali,” katanya.

Fahmi yang berpengalaman 11 tahun sebagai peguam syarie dan pernah mengendalikan pelbagai kes nikah fasid termasuk yang membabitkan sindiket wali hakim palsu dan isu-isu kompleks lain.

Fahmi mendedahkan, pada 1997, Fatwa Negeri Perak telah diwartakan secara khusus untuk menyatakan bahawa sesiapa yang dinikahkan seorang jurunikah di Gopeng, pernikahan itu adalah tidak sah.

“Jurunikah ini adalah bekas naib kadi yang tauliah jurunikahnya sudah tamat. Namun, beliau terus menjalankan aktiviti pernikahan, berkemungkinan atas faktor bayaran.

“Kes-kes seperti ini, di mana wali sebenar masih ada tetapi pernikahan dilakukan melalui wali hakim palsu, menyebabkan rukun pernikahan tidak sempurna dan pernikahan dianggap fasid,” katanya.

Fahmi berkata, kes lain yang pernah dikendalikannya di mana seorang wanita ingin berkahwin, tetapi sijil nikah ibu bapanya tidak dapat dikesan dalam sistem Jabatan Agama menyebabkan pernikahan ibu bapanya diragui.

“Anak itu tidak boleh diwalikan oleh bapanya.

“Jadi, mahkamah perlu mengisytiharkan pernikahan ibu bapanya fasid terlebih dahulu,” katanya.

Menurut Fahmi, dalam keadaan pernikahan fasid atau tidak sah, mereka perlu memohon ‘faraq nikah’ di Mahkamah Syariah untuk membatalkan pernikahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top