WASHINGTON – Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, mengakui beliau taasub terhadap fenomena objek terbang tidak dikenali (UFO) dan bertekad untuk menyiasat fail kerajaan berkaitan perkara itu sepanjang tempohnya memegang jawatan.
Dalam temu bual bersama audio siar konservatif, Benny Johnson, Vance berkata, beliau masih belum mempunyai masa mencukupi untuk meneliti isu tersebut secara mendalam, namun berjanji akan menyelidikinya.
“Saya masih ada tiga tahun lagi sebagai Naib Presiden. Saya akan bongkar semua fail UFO,” katanya sambil ketawa.
Dalam kenyataan mengejutkan, Vance turut menyatakan kepercayaannya bahawa UFO bukan makhluk asing, sebaliknya ‘makhluk halus’ atau entiti spiritual.
“Saya tidak fikir ia makhluk asing. Saya fikir ia adalah makhluk ghaib,” katanya, merujuk kepada kepercayaan bahawa terdapat makhluk ‘langit’ yang melakukan perkara pelik terhadap manusia.
Kenyataan itu muncul selepas Presiden Donald Trump pada Februari lalu mengarahkan agensi Persekutuan untuk mula mengenal pasti dan mendedahkan dokumen berkaitan UFO dan makhluk asing, susulan minat awam yang tinggi.
Trump turut mengkritik bekas Presiden Barack Obama selepas beliau menyatakan secara terbuka bahawa makhluk asing adalah ‘realiti’, dengan mendakwa kenyataan itu melibatkan maklumat sulit.
Walaupun minat terhadap UFO semakin meningkat, tiada bukti kukuh setakat ini yang menunjukkan kewujudan kehidupan pintar di luar bumi.
Laporan Pentagon pada Mac 2024 menyimpulkan bahawa kebanyakan fenomena udara tidak dikenali sebenarnya berpunca daripada objek biasa seperti belon cuaca, pesawat pengintip dan satelit.
Namun, siasatan berterusan dilakukan kerana kebimbangan bahawa sebahagian fenomena tersebut mungkin berkait dengan teknologi canggih milik negara pesaing.- AFP
Ringkasan AI
- Naib Presiden AS JD Vance komited menyiasat fail UFO semasa tempoh jabatannya.
- Vance percaya UFO adalah makhluk ghaib, bukan makhluk asing.
- Presiden Trump mengarahkan pendedahan dokumen UFO kerana minat awam tinggi.
- Trump mengkritik kenyataan Obama mengenai makhluk asing dan maklumat sulit.
- Pentagon menyimpulkan kebanyakan UFO adalah objek biasa seperti belon cuaca dan satelit.



