Naik taraf kemudahan desa

Naik taraf kemudahan desa

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kampung Angkat MADANI di Kampung Kuala Pangsun, Hulu Langat, Selangor sudah memulakan pelbagai projek pembangunan menaik taraf sejak Ogos lalu dan dijangka siap menjelang November tahun ini.

Program Kampung Angkat MADANI bermula pada 2024 bagi memastikan capaian liputan kemudahan asas dapat dipertingkatkan dan merapatkan jurang di antara desa dan bandar.

Program diteruskan bagi tahun 2025 dengan lebih menumpukan kepada kemudahan asas di kawasan desa yang terpinggir.

Kampung Kuala Pangsun menjadi Kampung Angkat MADANI Jabatan Perdana Menteri (JPM) tahun ini selepas Kampung Pituru Laut, Kota Belud di Sabah pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Setiusaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood berkata, terdapat tiga projek di dalam Kampung Kuala Pangsun yang diberi penekanan iaitu membaik pulih jalan, menaik taraf gelanggang futsal dan balai raya.

Jelasnya, tiga projek boleh memberi lebih kemudahan, keselesaan dan secara tidak langsung menjadi pemangkin limpahan ekonomi kepada penduduk kampung.

“Kampung Kuala Pangsun ini mempunyai sekitar 1,000 orang penduduk dan kita ingin menyantuni mereka dengan menyediakan kemudahan infraktruktur yang bukan sahaja memberi kesan positif kepada elemen modal insan malah sosioekonomi penduduk.

“Menerusi menaik taraf jalan dan balai raya, ia boleh menjadi pusat komuniti yang lebih selesa kepada warga kampung untuk melakukan aktiviti masyarakat dengan baik dan selesa. Begitu juga dengan gelanggang futsal mampu memupuk gaya hidup sihat terutama dalam kalangan belia,” katanya.

Jelasnya, menerusi menambah baik kemudahan jalan kampung, ia ibarat serampang dua mata kerana bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk Kampung Kuala Pangsun untuk menggunakannya setiap hari, malah memberi kemudahan kepada pelancong masuk ke kampung itu.

“Kampung Kuala Pangsun adalah salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di Selangor kerana ia mempunyai produk eko pelancongan seperti sungai, chalet dan homestay untuk orang ramai beriadah.

“Apabila menaik taraf kemudahan jalan raya dilaksanakan, produk pelancongan di kawasan ini boleh diakses dengan mudah. Sekali gus, memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.

Jelasnya, inisiatif Kampung Angkat MADANI itu juga bagi melestarikan warisan kampung yang ada di Malaysia seperti Kampung Kuala Pangsun yang sudah berusia lebih 100 tahun dan mempunyai sejarahnya tersendiri.

“Ia juga sebagai langkah kerajaan untuk menyantuni masyarakat di luar bandar bagi memastikan mereka mendapat kemudahan dan akses yang hampir sama dengan kawasan bandar.

“Kerajaan MADANI tidak mahu meminggirkan setiap rakyat termasuk di luar bandar kerana mereka berhak mendapat kemudahan yang baik. Selain itu, kemudahan yang dibangunkan juga perlu memberi kesan positif dari segi modal insan dan ekonomi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top