Naik taraf suntik semangat belajar

lokman.khairi@hmetro.com.my

Parit: Kerajaan negeri terus memperkasa pendidikan Islam di daerah Perak Tengah menerusi projek menaik taraf bangunan Sekolah Rendah Agama Rakyat Nasariah Lambor Kiri di sini.

Guru besarnya, Ahmad Nizam Ahmad Termizi berkata, sekolah berkenaan mula beroperasi sejak 1980-an dan kini mempunyai 90 murid dari tahun satu hingga tahun enam.

Menurutnya, bangunan sekolah berkenaan terdiri daripada dua tingkat dengan gabungan struktur batu di bahagian bawah, manakala tingkat atas menggunakan struktur kayu yang turut menempatkan bilik darjah.

“Bangunan ini mempunyai empat kelas, satu pejabat dan sebuah surau.

“Sekolah kami cuma mempunyai tiga guru termasuk saya dan permohonan menaik taraf bangunan dibuat kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sekitar 2021 sebelum diluluskan dua tahun kemudian,” katanya.

Beliau berkata, kerja menaik taraf bermula awal 2023 dan selesai sekitar November tahun sama, membabitkan beberapa struktur utama termasuk siling, pendawaian elektrik, atap, pagar sekolah serta penyelenggaraan parit sekeliling sekolah.

Katanya, kerja menaik taraf itu memberi keselesaan kepada guru dan murid, selain mengurangkan masalah kerosakan elektrik yang kerap berlaku sebelum ini.

“Dulu elektrik banyak kali terputus bekalan disebabkan masalah pendawaian yang terlalu lama.

“Sebelum dinaik taraf, sebulan sekali kami akan panggil juruteknik untuk membaikinya, kini Alhamdulillah bekalan elektrik tidak lagi terputus dan murid dapat belajar dalam suasana lebih selesa,” katanya.

Ahmad Nizam berkata, keadaan siling kelas sebelum ini turut membimbangkan berikutan kebocoran pada atap yang menyebabkan siling menggelembung dan rosak.

“Selain itu, pagar baharu yang dipasang turut membantu meningkatkan aspek keselamatan sekolah yang terletak berhampiran kawasan tanaman kelapa sawit.

“Kadang-kadang haiwan seperti anjing liar boleh masuk dan sebelum ini pernah juga ular masuk.

“Selepas ditukar kepada pagar besi, perkara itu sudah kurang berlaku,” katanya.

Ahmad Nizam berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan PKNPk atas keprihatinan menyalurkan peruntukan projek naik taraf itu yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.

Katanya, projek berkenaan tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan dan bantuan kewangan kerajaan negeri serta PKNPk, sekali gus membuktikan agenda memperkasa pendidikan Islam sentiasa menjadi keutamaan.

“Terima kasih kepada kerajaan Perak dan PKNPk atas keprihatinan membangunkan pendidikan rakyat sebagai asas pembentukan masyarakat berilmu, berdaya tahan dan berakhlak selaras Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.

Sementara itu, PKNPk dalam kenyataan berkata, pihaknya dipertanggungjawabkan bagi melaksana projek kecil berimpak tinggi di Perak di bawah Projek Khas Kementerian Ekonomi.

Katanya, projek menaik taraf Sekolah Rendah Agama Rakyat Nasariah bernilai RM280,000 itu bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top