ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menegaskan, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengisukan perintah mengemukakan dokumen kepada setiausaha syarikat Ilham Baru Sdn Bhd dan Ilham Tower Sdn Bhd adalah taktik yang memprejudiskan dirinya dan syarikat berkenaan.
Na’imah, yang juga pengarah kepada kedua-dua syarikat terbabit, berkata tindakan SPRM itu adalah suatu percubaan untuk memancing keterangan melalui pihak ketiga.
Menurut Na’imah, beliau telah dinasihati peguamnya dan percaya bahawa perintah yang diisytiharkan SPRM terhadap defendan (setiausaha syarikat) adalah suatu percubaan untuk ‘membaiki’ kes yang telah difailkan terhadapnya dan kedua-dua syarikat itu.
Katanya, ia adalah berdasarkan beban bukti oleh agensi berkenaan dalam permohonan melucut hak Menara Ilham.
“Saya selanjutnya menyatakan bahawa beban bukti yang dipikul oleh SPRM adalah untuk memastikan semua siasatan berkenaan dengan permohonan melucut hak telah diselesaikan sebelum memfailkan permohonan itu.
“Suatu pelucuthakan di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA 2001) adalah suatu proses melucut hak tanpa apa-apa dakwaan jenayah atau kesabitan kesalahan.
“Oleh itu, memandangkan permohonan melucut hak telah difailkan, ia jelas menunjukkan suatu andaian yang munasabah bahawa pihak SPRM mempunyai bukti yang mencukupi.
“Ia adalah kewajipan tugas SPRM dan Pendakwa Raya untuk menjalankan usaha wajar seperti melakukan carian, pengumpulan maklumat dan dokumen mereka untuk pertimbangan dalaman.
“Namun, berdasarkan fakta bahawa perintah mengemukakan dokumen telah diserahkan kepada defendan, ia jelas menunjukkan bahawa pihak SPRM tidak mempunyai bukti yang mencukupi,” katanya.
Na’imah berkata demikian dalam afidavit sokongannya melalui saman pemula difailkan Ilham Baru dan Ilham Tower pada 9 September lalu terhadap setiausaha syarikat yang dinamakan sebagai defendan.
Kedua-dua plaintif memohon perisytiharan bahawa defendan tidak mempunyai hak dan kuasa untuk mengemukakan apa-apa dokumen yang tidak boleh diakses oleh masyarakat umum dan hanya boleh diakses melalui sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang berada dalam simpanan defendan, kepada SPRM.
Ia berdasarkan kepada Perintah Mengemukakan Dokumen di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM bertarikh 28 Ogos lalu, tanpa kebenaran nyata dan bertulis daripada plaintif.
Semua dokumen berkenaan membabitkan dokumen korporat dan rekod berkanun kedua-dua plaintif.
Plaintif juga memohon perintah injunksi muktamad dan berterusan untuk menghalang defendan daripada menyerahkan apa-apa dokumen berkenaan kepada SPRM.
Mahkamah Tinggi semalam membenarkan Ilham Baru dan Ilham Tower mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang defendan daripada menyerahkan dokumen kepada mana-mana pihak ketiga, melainkan dengan persetujuan pengarahnya.
Peguam Nizamuddin Hamid, yang mewakili kedua-dua plaintif, berkata ia susulan permohonan difailkan kedua-dua syarikat terbabit terhadap defendan berhubung prosiding melucut hak yang dimulakan SPRM terhadap Ilham Tower.
Menurut Nizamuddin, dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya itu, bermakna sebarang pendedahan dokumen kepada SPRM hanya boleh dilakukan dengan persetujuan anak guamnya, iaitu Na’imah, selaku pengarah kedua-dua syarikat terbabit.
Nizamuddin berkata, Na’imah telah mengesahkan menerusi afidavitnya bahawa setiausaha syarikat telah diberikan perintah di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM yang memaksa semua dokumen berkaitan kedua-dua syarikat itu dikemukakan.
Katanya, ia berkait usaha SPRM untuk merampas dan melucut hak Menara Ilham, sebuah hartanah milik Ilham Tower Sdn. Bhd., walaupun tanpa sebarang sabitan terhadap mana-mana pihak.
“Dalam keputusan itu, hakim membenarkan injunksi ad-interim (sementara) untuk menghalang defendan daripada menyerahkan dokumen itu kepada pihak ketiga tanpa kebenaran bertulis daripada pengarah plaintif sehingga 9 Oktober ini atau perintah lanjut.
“Selanjutnya, mahkamah memerintahkan supaya kertas kausa diserahkan kepada SPRM untuk memberi peluang kepada anak guam kami didengari di mahkamah mengenai permohonan kedua-dua syarikat.
“Anak guam kami ingin sekali lagi menegaskan bahawa setiausaha syarikat mesti bertindak mengikut Akta Syarikat 2016 dan undang-undang yang ditetapkan, di mana tanggungjawab dan kuasa adalah terletak kepada pengarah syarikat,” katanya.
Nizamuddin berkata, oleh itu sebarang pematuhan melulu terhadap perintah SPRM adalah pelanggaran undang-undang terhadap Akta Syarikat 2016 dan undang-undang yang ditetapkan.
Dalam prosiding berkenaan, defendan diwakili peguam Ambbi Sundrambal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




