Na'imah, dua anak dan peguam saman kerajaan berhubung siasatan guling kerajaan

Na'imah, dua anak dan peguam saman kerajaan berhubung siasatan guling kerajaan

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, dua anaknya dan peguam keluarga itu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi hari ini terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua yang lain bagi mencabar siasatan terhadap mereka berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan.

Selain Na’imah, dua anaknya yang bertindak selaku plaintif dalam saman pemula itu ialah Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, serta dua peguam keluarga iaitu Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Kesemua mereka menamakan Anwar, Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia selaku defendan, yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini.

Melalui saman pemula itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa siasatan yang dimulakan oleh Mohd Khalid dan kerajaan terhadap mereka di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan menurut laporan polis bertarikh 26 Februari lalu, adalah menyalahi undang-undang dan tidak berasas.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa ia tidak berperlembagaan, berniat jahat dan dilaksanakan untuk tujuan tersembunyi serta suatu penyalahgunaan kuasa statutori.

Balu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu dan plaintif lain turut memohon perisytiharan bahawa Seksyen 124B yang bertujuan untuk melarang “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen”, tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah kerana samar-samar, terlalu luas dan tidak seimbang dalam skopnya.

Oleh itu, plaintif menyatakan iamelanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang dan Perkara 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan KPN dan kerajaan dalam memulakan dan meneruskan siasatan terhadap mereka, melanggar kebebasan asasi yang dijamin di bawah perlembagaan.

Mereka dengan itu memohon perintah interim bahawa KPN dan kerajaan dihalang menggunakan dan memberi kesan kepada peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk memudahcara siasatan di bawah seksyen 124B terhadap mereka.

Ia sementara menunggu penentuan persoalan perlembagaan yang dibangkitkan dalam relif melalui saman pemula terbabit.

Peguam plaintif, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, dalam satu kenyataan berkata, saman itu difailkan demi kepentingan awam, untuk mencabar penyalahgunaan kuasa dan menghentikan dakwaan palsu mengenai kononnya wujud ‘komplot Zionis’ untuk menjatuhkan kerajaan.

Sebelum ini, Mohd Khalid mengesahkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Beliau dilapor berkata, siasatan berkenaan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.

Dalam pada itu Na’imah menegaskan, beliau tidak pernah terbabit, apatah lagi mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha menjejaskan kestabilan kerajaan yang dipilih rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top