am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak dijadual menjalani satu prosedur perubatan bagi membuang plak yang terdapat berhampiran saluran darah.
Perkara itu disahkan isteri bekas Perdana Menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor.
Rosmah turut memohon orang ramai terus mendoakan segala urusan dan prosedur perubatan yang bakal dijalani Najib dipermudahkan serta berjalan lancar.
“Saya amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh sahabat handai, rakan-rakan serta penyokong beliau.
“Dalam saat ini, saya memohon agar semua terus mendoakan semoga segala urusan dan prosedur yang bakal dijalani beliau dipermudahkan, berjalan dengan lancar dan beliau dikurniakan kesihatan serta kekuatan,” katanya melalui Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Rosmah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menghubungi keluarga mereka, bertanya khabar serta menitipkan doa dan kata-kata semangat buat Najib.
“Terima kasih atas ingatan, kasih sayang dan doa yang tidak pernah putus.
“Semoga Allah SWT melindungi beliau dan mengurniakan yang terbaik,” katanya.
Kelmarin Najib dilapor mengalami masalah jantung dan dijadual menjalani satu prosedur berkaitan minggu depan.
Najib, 73, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dalam kes SRC International.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu daripada 12 tahun kepada enam tahun.
Turut dikurangkan jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada April lalu Najib menarik balik permohonan untuk tahanan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




