surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh supaya dipenjarakan kerana menghina mahkamah membabitkan Titah Adendum.
Permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap hakim Mahkamah Persekutuan itu difailkan melalui Tetuan Shafee & Co pada Rabu lalu.
Firma guaman itu melalui kenyataan hari ini berkata, pihaknya mendapat arahan daripada Najib untuk memfailkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin sejak Januari lalu.
Firma berkenaan melalui surat bertarikh 20 Januari lalu menggesa bekas Peguam Negara itu memberikan sebab mengapa beliau tidak patut dikenakan tindakan penghinaan mahkamah berhubung Titah Adendum.
Katanya, pada 21 April lalu, firma itu mengeluarkan kenyataan, pihaknya mempertimbangkan cadangan Peguam Negara (kini) supaya ia menilai semula hasrat untuk memulakan tindakan penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.
“Bagaimanapun, Najib tetap memutuskan untuk meneruskan tindakan (prosiding komital) itu dan mengarahkan kami untuk berbuat demikian.
“Kami menerima banyak pertanyaan daripada pihak media sama ada tindakan penghinaan itu sudah difailkan.
“Kenyataan media ini dikeluarkan khusus untuk menjawab kebimbangan pihak media mengenai perkembangan perkara ini serta untuk menjawab segala pertanyaan yang dikemukakan,” katanya.
Menurutnya, asas dan latar belakang permohonan untuk memulakan prosiding penghinaan adalah berdasarkan kepada salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 diserahkan kepada anak guam melalui anaknya, Datuk Mohamad Nizar.
Kenyataan itu juga mendakwa melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi mengesahkan ketulenan dan kesahihan
Titah Adendum itu.
“Kandungan dokumen itu bukan sahaja mengesahkan kewujudan Titah Adendum dan Titah Diraja berkenaan penahanan di rumah.
“Ia malah turut mendedahkan Titah Adendum itu secara langsung ditujukan kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara pada masa itu untuk melaksanakan Titah Adendum itu.
“Ini menunjukkan beliau mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan dan kandungan titah berkenaan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya lagi, walaupun Ahmad Terrirudin mempunyai pengetahuan ini, Najib menegaskan bahawa bekas Peguam Negara semasa memegang jawatan itu didakwa mengarahkan pegawainya supaya mengelirukan Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan untuk memulakan semakan kehakiman.
Kenyataan itu juga mendakwa ia menyatakan bahawa dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum hanyalah satu spekulasi dan berasaskan keterangan dengar cakap walaupun Ahmad Terrirudin mengetahui bahawa kenyataan itu adalah tidak benar.
Oleh yang demikian, menurut kenyataan itu, bekas Perdana Menteri berpendapat bahawa sebagai seorang penjawat awam, bekas Peguam Negara mempunyai kewajipan ‘duty of candour’ kepada mahkamah.
Katanya, perundangan Malaysia dan antarabangsa, termasuk keputusan-keputusan terkini Mahkamah Persekutuan jelas menyatakan kerajaan wajib mengemukakan semua fakta (dan dokumen) yang relevan kepada mahkamah dalam sebarang prosiding semakan kehakiman.
“Kegagalan sengaja untuk berbuat demikian akan menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan malah adalah satu halangan terhadap keadilan itu sendiri.
“Anak guam kami percaya bahawa dengan memilih untuk mengelirukan Mahkamah Tinggi, bekas Peguam Negara mencemarkan nama baik institusi kehakiman dan tindakan itu wajar dikenakan hukuman yang serius oleh mahkamah.
“Memandangkan bekas Peguam Negara kini memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, adalah amat penting beliau diberikan peluang untuk menjawab segala dakwaan serius ini,” katanya.
Firma guaman itu menyeru semua pihak serta pemerhati untuk tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya membenarkan mahkamah menentukan
© New Straits Times Press (M) Bhd




