Najib mohon bekas Peguam Negara dipenjara

Najib mohon bekas Peguam Negara dipenjara

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mendakwa Jabatan Peguam Negara sengaja mengelirukan mahkamah dan memesongkan keadilan apabila tidak berhujah dengan benar berhubung Titah Adendum.

Dakwanya, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sengaja mengarahkan atau telah menyebabkan hujah tidak benar dikemukakan sewaktu permohonan semakan kehakiman berhubung Titah itu pertama kali didengar di Mahkamah Tinggi di sini, tahun lalu.

Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari 2024.

“Responden (Ahmad Terrirudin) sendiri telah menerima Titah Adendum daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Ai-Mustafa Billah Shah) yang telah menitahkan agar beliau melaksanakan tahanan rumah ke atas pemohon (Najib) bermula 29 Januari 2024.

“Tindakan sedemikian merupakan satu cubaan yang disengajakan untuk mengelirukan mahkamah dan memesongkan perjalanan keadilan. Kesan daripada tindakan ini adalah penafian pemohon daripada mendapatkan remedi yang sewajarnya sekali gus menyebabkan perlanjutan pemenjaraan pemohon dipenjara dan bukannya tahanan rumah.

“Tindakan itu menyebabkan pemohon menanggung prosiding guaman dan kos yang tidak diperlukan selain kehilangan sebahagian kebebasan melalui tahanan di rumah,”kata Najib dalam notis permohonan komital secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap Ahmad Terrirudin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Najib memfailkan permohonan komital berbentuk pemenjaraan terhadap Ahmad Terrirudin pada 21 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini. Sesalinan dokumen itu diperoleh media pagi ini.

Tambah Najib dalam notis berkenaan, tindakan oleh Ahmad Terrirudin ketika menjawat jawatan Peguam Negara adalah bertentangan dengan kewajipan utama beliau terhadap pentadbiran keadilan.

“Ia menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan merupakan satu penghinaan terhadap mahkamah dan gangguan terhadap pentadbiran keadilan yang sewajarnya terutamanya apabila beliau mempunyai kewajiban untuk berterus terang terhadap Pemohon dan orang awam secara amnya,”kata bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Sementara itu menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh firma guaman, Tetuan Shafee & Co antara lain menyatakan asas permohonan itu ialah berkait salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu yang telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh pejabat Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Ia berkata, sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi telah mengesahkan ketulenan dan kesahihan Titah Adendum tersebut.

Titah tersebut antara lainnya menyebut:

“Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya.

Wabadah Ehwal, Beta dengan ini menitahkan sebagai tambahan kepada keputusan Beta berhubung Banduan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (530723-06-5165) pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan dan Putrajaya kali ke-6l pada hari Isnin, 29 Januari 2024 bersamaan 17 Rejab 1445 Hijrah supaya menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest).”-UTUSAN

Scroll to Top