Nak… boleh belikan mak cik makanan? Mak cik lapar…

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Nak (anak)… minta tolong belikan makanan boleh? Mak cik lapar, mak cik tak makan daripada pagi.”

Demikian permintaan seorang wanita warga emas kepada Muhammad Afiq Zul Suhaile hingga pemuda itu tersentuh hingga segera membantu tidak mengenalinya.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Afiq yang menetap di Seputeh, di sini berkata, dia bertemu dengan wanita berkenaan pada minggu lalu ketika menemani rakannya ke unit kecemasan di Hospital Ampang, Selangor.

“Saya teman kawan ke hospital untuk mendapat rawatan kerana dia mengalami cirit birit.

“Sementara menunggu, saya disapa seorang mak cik yang duduk di atas katil sebelum minta belikan makanan.

“Mak cik itu nampak lesu dan letih… melihat wajahnya, saya jadi tak sampai hati dan segera belikan bubur, biskut juga minuman untuknya,” katanya kepada Harian Metro.

Selepas membeli makanan, Muhammad Afiq terus menyerahkannya kepada wanita berkenaan.

Muhammad Afiq berkata, wanita itu mahu membayar semula kepadanya namun dia menolak kerana sudah berniat untuk membantu.

“Saya sempat juga bersembang dengan mak cik itu dan bertanya macam mana dia datang ke hospital.

“Katanya datang sendiri ke hospital untuk rawatan sakit jantung dan datang sendiri dengan menaiki teksi.

“Sebelum ini, dia pernah datang juga ke hospital dan bergenang juga air mata saya sewaktu mendengar kisahnya.

“Sedih kerana saya jenis orang yang cepat tersentuh dengan budak dan orang tua dan bila tengok wajah mak cik itu, terus teringat emak di kampung,” katanya.

Muhammad Afiq berkata, dia tidak dapat bersembang lama kerana perlu menemani rakannya menguruskan pembayaran di kaunter sebelum pulang.

“Sebelum beredar, mak cik itu ucap terima kasih kepada saya…. selesai urusan berkenaan, saya cari mak cik berkenaan namun dia tiada mungkin kerana sudah dimasukkan ke dalam wad.

“Kebetulan, rakan saya rakam video saya dan mak cik itu diam-diam. Saya kongsikannya di media sosial pun kerana nak pupuk kesedaran, rasa simpati juga empati dalam diri, bukan sebab nak tular pun.

“Sebaliknya, mesej saya adalah mahu mereka yang menonton video itu nampak pentingnya membantu orang tua tanpa mengira bangsa mahupun agama.

“Saya bantu mak cik itu tempoh hari pun kerana belas ihsan sesama manusia. Lagipun, saya masih ada ibu bapa dan tinggal merantau jadi harap ada insan boleh menolong jika emak dengan ayah dalam kesusahan… hidup ini pun ibarat roda, ada kalanya di atas dan tidak mustahil akan berada di bawah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top