Nak buktikan OKU pun tahu pasang Jalur Gemilang yang betul

Nak buktikan OKU pun tahu pasang Jalur Gemilang yang betul

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Klang: “Mesej yang cuba disampaikan dalam video itu ialah orang kurang upaya (OKU) pun pandai pasang bendera dengan betul.

“Saya kongsi di media sosial video itu kerana ada segelintir individu suka salahkan OKU jika ada isu tertentu,” kata pempengaruh TikTok, Zuhan Hamzah, 38, atau nama sebenarnya, Iizujuhan Hamzah selepas videonya bersama OKU mental dikenali Rahim tular.

Video itu mendapat perhatian warganet kerana mempamerkan Rahim yang pandai memasang Jalur Gemilang dengan betul walaupun ada kekurangan pada dirinya.

Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet kagum dengan Rahim dan memuji perkongsian Zuhan kerana membawa mesej jelas mengenai pentingnya rakyat Malaysia menghormati Jalur Gemilang tanpa mengira apa jua latar belakang. Bercerita lanjut, Zuhan berkata, dia sudah hampir setahun tidak bertemu Rahim dan akhirnya terserempak lelaki itu baru-baru ini.

“Kebetulan dalam kereta saya memang ada Jalur Gemilang jadi bila jumpa Rahim, saya ambil peluang untuk mengujinya memasang bendera itu dengan betul.

“Saya minta dia pasang Jalur Gemilang itu secara spontan saja dan boleh nampak dalam video itu, kita tengok dia pun tahu kedudukan bendera yang betul.

“Jadi mustahil rakyat Malaysia yang normal dan waras tak tahu atau boleh tersilap pasang Jalur Gemilang,” katanya.

Menurut Zuhan, dia berharap mereka yang menonton perkongsiannya itu dapat memahami mesej cuba disampaikannya.

“Kalau mengikuti ‘content’ (perkongsian) saya, banyak yang ada maksud tersirat dan itu salah satunya.

“Sambil menyelam, minum air. Niat saya adalah tunjuk bahawa OKU pun mampu buat dengan betul jadi tak ada alasan untuk orang lain buat silap.

“Lagipun, tak lama lagi kita semua nak menyambut hari kemerdekaan jadi cukup-cukuplah ada isu bendera terbalik dan sebagainya yang boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia. Jangan setiap kali ada isu pasang bendera terbalik salahkan OKU,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top