'Nak menang 60 kerusi Parlimen logiknya kena sedia RM60 juta' – Sanusi

'Nak menang 60 kerusi Parlimen logiknya kena sedia RM60 juta' – Sanusi

am@hmetro.com.my

Alor Setar: PAS menjangkakan kos untuk mempertahankan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) boleh mencecah sehingga RM1 juta.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah itu berpunca daripada keperluan jentera parti menguasai pelbagai medium baharu termasuk media sosial, selain kos logistik, latihan petugas dan penyediaan kelengkapan kempen yang semakin mahal.

Katanya, pilihan raya kini menuntut persediaan jauh lebih kompleks dengan pelbagai kaedah serta pendekatan dan PAS tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah konvensional.

“Sekarang nak bertahan satu kerusi Parlimen makan belanja besar. Ada orang kira, kosnya boleh cecah RM1 juta. Jadi kalau kita nak menang 60 kerusi, logiknya kena sedia sekurang-kurangnya RM60 juta.

“Inilah realiti politik semasa. Kalau kita tak buat persiapan awal, tak kuasai teknologi, media sosial, aplikasi dan alat kempen moden, kita akan ketinggalan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar PAS di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, jentera parti di semua peringkat tidak boleh lagi mengambil ringan soal persiapan kewangan, sebaliknya perlu bersedia berkorban demi memastikan perjuangan parti terus mara.

Katanya, walaupun sumbangan kecil daripada ahli dan penyokong sentiasa dihargai, keperluan sebenar pilihan raya akan datang memerlukan kutipan dana yang lebih tersusun dan berimpak besar.

“Jangan lagi kita anggap nak derma RM20 cukup untuk pilihan raya. Kita kena fikir secara serius, bagaimana nak pastikan kewangan parti kukuh supaya jentera boleh bergerak dengan lancar.

“Kalau nak bertahan, kosnya lebih besar daripada nak menawan. Masa kita belum menang, orang tak peduli. Bila kita menang, macam-macam orang bunyi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut mengingatkan pemimpin PAS supaya tidak leka dengan perbalahan dalaman atau isu kecil sesama sendiri kerana cabaran sebenar datang daripada pihak lawan yang sedang menunggu peluang melemahkan parti.

“Jangan bawa mesej kita bertembung , dah la negeri kecil, berkelahi pula, wakil rakyat tak puas hati boleh kata depan, jangan kata belakang, nak kat saya pun kata depan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau optimis PAS mampu mempertahankan semua kerusi sedia ada malah menambah jumlah kerusi untuk membuka laluan ke Putrajaya.

“Kalau kita bersatu, berkorban dan kerja bersungguh-sungguh, Insya Allah rakyat akan serah amanah lebih besar kepada PAS,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top