mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail sekali lagi menyuarakan pandangan tegas terhadap landskap bola sepak tempatan yang menurut Baginda masih jauh ketinggalan berbanding negara serantau.
Menerusi satu hantaran di platform X, Tunku Mahkota Ismail menegur sikap dan mentaliti dalam kalangan warga bola sepak negara yang dilihat tidak selari dengan impian untuk mencetuskan perubahan sebenar dalam sukan nombor satu negara itu.
“Semua bercakap macam kita ini juara Piala Dunia. Nak perubahan, tetapi minda masih zaman purba,” titah baginda dalam nada sinis.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pencetus kepada revolusi bola sepak profesional negara turut membandingkan kemajuan ketara dicapai negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Baginda menjelaskan ketiga-tiga negara itu bukan sekadar bercakap, malah sudah mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf kemudahan sukan serta membuka ruang kepada kepakaran asing dalam usaha meningkatkan kualiti permainan.
“Indonesia, Thailand, Vietnam dah jauh. Semua sudah naik taraf fasiliti bola dan beradaptasi dengan kepakaran asing. Kita setakat bercakap sahaja,” titah baginda.
Pandangan lantang Tunku Mahkota Ismail itu mencerminkan kekecewaan terhadap hala tuju bola sepak Malaysia yang seakan-akan masih berada di takuk lama meskipun pelbagai gesaan dan peringatan telah diberikan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, baginda pernah beberapa kali menegur kelemahan dalam struktur bola sepak negara, termasuk dalam aspek pentadbiran, pembangunan akar umbi dan profesionalisme pasukan.
Mengikut rekod, projek revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan Tunku Mahkota Ismail dilihat bakal membuka lembaran baharu kepada proses meningkatkan prestasi skuad negara di pentas antarabangsa.
Ia menyaksikan satu badan teknikal baharu dilantik bagi menguruskan Harimau Malaya dengan kehadiran bekas pemain Kanada, Robert Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan.
Peter Cklamovski pula dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya dan bekas jurulatih Kedah, Nafuzi Zain untuk mengemudi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Selain itu, beberapa pemain warisan dijangka memperkuatkan Harimau Malaya selain terdapat ura-ura beberapa pemain termasuk penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva akan dinaturalisasikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




