mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Lelaki cedera di kaki selepas terkena paku ketika menguji alat pistol paku yang dibelinya dalam talian di kediamannya di Jalan Gombak, di sini, malam ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Cheras, dan Sentul, Mejar (PA) Mohamad Aminullah Zulkafly berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 9.21 malam ini.
Menurutnya, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur yang ke lokasi kejadian mendapati mangsa cedera di kaki akibat terkena tembakan paku.
“Sebelum kejadian, mangsa dipercayai menguji alat pistol paku yang dibeli secara dalam talian yang mana paku yang ditembak di meja tembus hingga mencederakan kakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




